Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Benzema berputih mata

    DOHA, 20 NOV – Harapan Perancis untuk mempertahankan gelaran juara dunia mendapat tamparan hebat selepas pemenang Ballon d’Or itu terpaksa mengundurkan diri daripada beraksi di Qatar susulan kecederaan yang dialaminya pada Sabtu.

    Pemain penyerang Real Madrid berusia 34 tahun itu telah bergelut dengan kecederaan sejak sekian lama dan hanya beraksi kurang daripada 30 minit dalam enam penampilannya sebelum Piala Dunia.

    Pada Sabtu, dia telah mengambil bahagian dalam sesi latihan penuh buat pertama kali sejak pasukan itu tiba di Qatar pada minggu lepas. Dia terpaksa dikeluarkan untuk diperiksa selepas mengalami kecederaan.

    Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) kemudian berkata di dalam satu kenyataan, bahawa kecederaan tersebut akan mengambil masa tiga minggu untuk pulih, sekali gus menolak sebarang kemungkinan dia kembali cergas sepenuhnya untuk perlawanan yang bakal berakhir pada 18 Disember.

    “Saya sangat sedih untuk Karim, yang mana Piala Dunia ini merupakan objektif utamanya,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps dalam kenyataan FFF.

    “Walaupun tamparan hebat yang melanda skuad Perancis ini, saya menaruh kepercayaan penuh ke atas skuad saya. Kami akan berikan yang terbaik untuk bangkit daripada cabaran yang menanti.”

    Pemain berusia 36 tahun, Olivier Giroud dijangka mendapat kelebihan daripada ketiadaan Benzema dengan menjadi sebahagian daripada penyerang skuad Perancis di samping Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann. – AFP

    Aksi Karim Benzema semasa sesi latihan di Stadium Jassim bin Hamad, Doha, Qatar. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...