Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Berkenan bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Yayasan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

    Hadir menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ialah Yang Dipertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar selaku timbalan pengerusi I Jemaah Tadbir Yayasan; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku timbalan pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

    Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan kali ke-18 itu dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan pameran yang diadakan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama sebahagian peserta yang membuat persembahan pada majlis tersebut.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan berangkat ke majlis sambutan tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan beramah mesra bersama peserta-peserta cilik.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan menyaksikan salah satu pameran yang diadakan.

    Antara persembahan yang memeriahkan majlis sambutan tersebut.

    Atlet wusyu dan pencak silat negara yang merangkul pingat emas, perak dan gangsa pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini, turut menyertai majlis tersebut.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin menyembahkan bahawa setiap tahun majlis berkenaan mengumpulkan golongan peserta yang mempunyai latar belakang berbeza yang melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing ke arah menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan agama,
    bangsa dan negara.

    Pada tahun ini, tambah beliau, majlis mengumpulkan warga belia negara yang telah memberikan sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung dalam program keagamaan, kemasyarakatan, keusahawanan, kesukarelawan dan seni kreatif.

    Sebahagian daripada mereka juga terdiri daripada para belia dan pelajar yang berpotensi untuk memberikan sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

    “Mereka ini diharapkan akan memberikan inspirasi kepada semua golongan belia untuk mempersiapkan diri membentuk paradigma masyarakat yang pintar dan inovatif,” sembahnya.

    Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebelum diteruskan dengan tayangan video bertajuk ‘Memperkasa Kecerdasan Belia Mampan’ yang antara lain memaparkan penglibatan aktif serta pencapaian-pencapaian yang telah diraih oleh para belia negara dengan dukungan penuh dan berterusan daripada pihak kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan pendekatan senegara yang mantap dalam melahirkan para belia bakal penerus pemimpin masa depan yang mempunyai nilai-nilai murni dan berakhlak mulia, berkeyakinan, bertanggungjawab, dinamik, kreatif dan berinovatif bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.

    Majlis diserikan dengan persembahan pentas oleh para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid sekolah rendah dan penuntut sekolah menengah) dan pelajar Sekolah Rendah Bengkurong dengan pimpinan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Acara turut diserikan dengan persembahan silat oleh pasukan pencak silat negara yang merangkul pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

    Bersesuaian dengan tema dan konsep sambutan pada tahun ini, majlis mengetengahkan pameran mengenai usaha-usaha, inisiatif dan komitmen semua kementerian, sektor swasta, NGO dan individu dalam memperkasa kecerdasan belia mampan.

    Tiga aspek kecerdasan yang diketengahkan dalam pameran itu adalah kecerdasan daripada aspek kerohanian, intelektual dan emosi yang berkait rapat dan perlu ditanamkan dalam diri setiap belia secara seimbang agar mereka lebih bersedia berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks dan tidak pasti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...