Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    ‘Bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu’

    KUALA LUMPUR, 21 NOV – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat Malaysia agar bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Seri Paduka bertitah pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan sedikit masa lagi. 

    “Harap bersabar, perlukan masa sikit, kena bersabar, banyak bertenang.

    “Kerajaan ‘Caretaker’ masih lagi ada, masih berjalan seperti biasa,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni pengamal media yang berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara, di sini hari ini.

    Seri Paduka juga bertitah agar segala perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baharu, hendaklah dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Negara. 

    Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertemu dan menyumbangkan makanan kepada pengamal-pengamal media yang ‘berkampung’ di Pintu 2, Istana Negara. – Bernama

    “Saya tidak akan buat kenyataan. Ikutlah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara,” titah baginda.

    Dalam kenyataan media terkini Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk melanjutkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri, sehingga 2 petang esok.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    PRU15 pada 19 Nov menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...