Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Bersama hapuskan TB menjelang 2030

    Oleh Sim Y.H. –

    Penyakit tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara disebabkan oleh bakteria mycobacterium tubercolsis.

    Antara gejala TB adalah batuk berpanjangan yang melebihi tiga minggu, batuk berdarah, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera dan penurunan berat badan.

    Sesiapa yang mengalami gejala-gejala berkenaan disarankan untuk mendapat pemeriksaan doktor di klinik-klinik berdekatan dengan secepat mungkin di mana lewat mendapat rawatan boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk kematian.

    Selain itu, penting bagi pesakit TB untuk mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan dengan gigih dan titih kerana pengambilan ubat yang tidak konsisten boleh meningkatkan risiko untuk mendapat semula jangkitan TB atau mendapat drug-resistant TB iaitu satu keadaan di mana ubat-ubat yang sedia ada tidak dapat membunuh kuman TB dan menyebabkan penyakit TB sukar untuk dirawat.

    PENYAKIT TB DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

    Di Negara Brunei Darussalam, kadar insiden penyakit TB pada 2023 adalah 58 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu pada kadar bebanan TB sederhana (intermediate TB burden).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkongsi bahawa kadar kes kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB serta kes jangkitan TB dalam kalangan pesakit HIV (TB-HIV) di negara ini adalah sangat rendah. – GAMBAR FAIL SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Sesiapa yang mengalami gejala-gejala TB disarankan untuk mendapat pemeriksaan doktor di klinik-klinik berdekatan dengan secepat mungkin di mana lewat mendapat rawatan boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk kematian.
    – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Antara gejala TB adalah batuk berpanjangan yang melebihi tiga minggu dan batuk berdarah. – Freepik

    Trend insiden penyakit TB sejak lima tahun kebelakangan adalah antara 52 hingga 68 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

    “Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kadar kes kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB serta kes jangkitan TB dalam kalangan pesakit HIV (TB-HIV) di negara ini adalah sangat rendah,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari TB Sedunia 2024.

    Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa kedua-dua perkara itu merupakan dua cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa sekarang.

    Kementerian Kesihatan sangat komited dan akan terus proaktif dalam memastikan cabaran-cabaran tersebut sentiasa terkawal di negara ini.

    SAMBUTAN HARI TB SEDUNIA

    Hari TB Sedunia disambut pada setiap 24 Mac dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen terhadap usaha-usaha pencegahan dan pengawalan penyakit TB.

    Penyakit TB merupakan punca kematian penyakit berjangkit yang kedua selepas COVID-19 di mana menurut statistik Pertu-buhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 10 juta orang di seluruh dunia dijangkiti TB setiap tahun dan menyebabkan 1.5 juta kematian, kebanyakannya di negara-negara yang sedang membangun.

    Secara global, penyebaran varian TB yang resisten terhadap ubat dan faktor-faktor seperti HIV/AIDS, kemiskinan serta akses yang terhad kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti masih menjadi cabaran besar dalam usaha menangani TB.

    WHO dan Stop TB Partnership mengekalkan tema Yes! We can end TB sebagai tema sambutan pada 2024 di mana ia bertujuan untuk menggerakkan tindakan kolektif dalam menangani TB dan menuju kepada mencapai sasaran 2027 HLM Political Declaration dan end TB by 2030.

    Tema itu juga dikekalkan untuk memberi perhatian kepada kejayaan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh kebanyakan negara yang terkesan dengan beban penyakit TB yang tinggi untuk memastikan akses kepada diagnostik terkini, rejimen rawatan baharu, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam menangani penyakit TB.

    Tema juga memberi tumpuan kepada penglibatan yang meningkat daripada pesakit TB, komuniti, dan masyarakat yang memimpin gerakan menuju penghapusan penyakit berkenaan.

    USAHA PENGAWALAN PENYAKIT TB

    Kementerian Kesihatan memfokuskan strategi dan tindakan pengawalan penyakit TB di Negara Brunei Darussalam bagi mencapai sasaran untuk menurunkan jumlah kes TB di negara ini daripada bebanan TB sederhana pada masa ini kepada bebanan TB rendah iaitu pada kadar kurang daripada 10 kes bagi setiap 100,000 penduduk dengan membuat beberapa pendekatan.

    Pendekatan-pendekatan yang dilaksanakan adalah peningkatan dan penambahbaikan sistem surveilan TB, peningkatan kesedaran semua pihak termasuk profesional kesihatan dan orang ramai tentang penyakit TB, pengukuhan Program Saringan Penyakit TB dengan kumpulan-kumpulan sasaran tertentu serta memastikan rawatan diberikan dan dipatuhi sehingga sembuh supaya jangkitan TB tidak menular kepada orang lain dan menghindari kemunculan kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB.

    “Pada Hari TB Sedunia, marilah kita komited untuk bersama-sama melawan TB di mana sokongan ahli keluarga, rakan sekerja, majikan serta stakeholder lain termasuk para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat adalah amat penting bagi memastikan pesakit berjaya menjalani rawatan sehingga kembali sembuh.

    “Dengan tindakan bersama, kita boleh mencapai sasaran global untuk menghapuskan TB menjelang tahun 2030, Yes! We can end TB,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...