Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Bertahlil di kubah sempena Ulang Tahun Yayasan ke-30

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini berkenan berangkat ke majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja bersempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-30 tahun.

    Majlis tahlil berkenaan dikhususkan bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Bacaan Surah Yasin dan tahlil telah diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan bin Haji Tahir.

    Juga hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim, para pegawai dan kakitangan Yayasan, ahli-ahli alumni Sultan’s Scholar, dan sukarelawan Yayasan serta penduduk Kampung Bolkiah A dan B.

    Sebelum ini, Yayasan juga telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena ulang tahun penubuhannya pada 5 Oktober lalu.

    Yayasan ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan jubli perak menaiki takhta.

    Penubuhannya adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menjirus air asah-asahan ke makam Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien di Kubah Makam Diraja semasa berkenan berangkat ke majlis bertahlil bersempena Ulang Tahun ke-30 Penubuhan Yayasan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjirus air asah-asahan ke makam Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat ke majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjirus air asah-asahan ke makam Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...