Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bina kekuatan spiritual

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-61 bertitah menekankan akan kepentingan membina kekuatan spiritual selain memperkasa kekuatan fizikal.

    “Bagi kita orang Islam mendekatkan diri kepada Allah dengan pembacaan Al-Quran adalah satu kekuatan kerana Al-Quran mukjizat teragung yang tidak boleh ditundukkan oleh apa pun,” titah Baginda semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61 di Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), hari ini.

    “Beta gembira dengan penerbitan mashaf Al-Quran sempena Sambutan Jubli Intan ABDB, baru-baru ini dan yakin dengan niat ikhlas mengagungkan kitab suci Al-Quran, semua anggota ABDB yang beragama Islam akan beroleh berkat celik Al-Quran dengan suka belajar dan menjadikan membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian.

    “Lalu sesuai dengan tujuan untuk memperkasa sekuriti maka membaca Al-Quran wajar dilazimkan bagi meraih keberkatan berupa kekuatan dan keselamatan, di samping, jangan pula leka atau lalai menangani sebarang kepincangan yang boleh melemahkan kredibiliti ABDB,” tekan Baginda lagi.

    Pada sambutan itu, Baginda memperkenankan pentauliahan Skuadron 39, Unmanned Aerial System (UAS) dan penubuhan Skuadron Bot Tempur dan Trup Risik.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61 di Pangkalan Muara, TLDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61.

    “Melihat kepada peranan ABDB dan persediaan untuk mencapai Gagasan Angkatan 2035 nanti, maka mengambil sukut baik HUT ABDB yang ke-61 ini, Beta dengan sukacita mentauliahkan Skuadron 39, Unmanned Aerial System (UAS) bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan memperkenankan penubuhan Skuadron Bot Tempur dan Trup Risik bagi Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

    “Dan sehubungan itu, Beta juga sukacita memperkenankan jawatan pemerintah medan TDDB dan seterusnya menaik taraf jawatan ketua staf TLDB, ketua staf TUDB ke pangkat kolonel iaitu sebanding dengan unit TDDB dan markas Angkatan Bersama ABDB ketika ini,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya menekankan bahawa tidak kurang pentingnya juga untuk diteruskan komitmen negara kepada keselamatan serantau dan antarabangsa.

    Penglibatan ABDB dalam misi pengaman dan pemantau melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) sejak 2004, Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak 2008, Information Fusion Centre (IFC) sejak 2013 dan International Decommissioning Body (IDB) sejak 2019 di Republik Filipina serta penugasan di dalam Counter Terrorism Information Facility (CTIF) sejak 2020 di Republik Singapura telah menaikkan profesionalisme anggota ABDB sekali gus mengharumkan nama negara.

    “Beta yakin dengan wujudnya rantau yang selamat, maka negara kita juga pasti selamat di mana dengan itu, rancangan-rancangan pembangunan dan kemajuan negara akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.”

    Terdahulu dalam titah Baginda, menyatakan Baginda telah dan sedang mengikuti perkembangan ABDB sepanjang penubuhannya sejak enam dekad yang lalu, baik dari sudut keupayaan anggota, mahupun aset dan kelengkapan yang membolehkannya kekal sebagai institusi pertahanan yang teguh termasuk usaha pemodenannya yang berterusan.

    “Beta sedia mengambil maklum, ABDB juga sedang merangka rancangan strategiknya berdasarkan Defence White Paper 2021 yang digabungkan dengan Force 2035 dan Force Structure Review (FSR) yang masih dikemas kini sebagai panduan dan hala tuju seiring dengan konsep TEPIDOIL iaitu Training, Equipment, People, Information, Doctrine, Organisation, Infrastructure dan Logistic, yang bersesuaian bagi memastikan inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti dapat dicapai dengan baik.

    “Dalam perkara pemodenan ini, pada hemat Beta, perancangan yang titih dan kemas sangatlah diperlukan untuk mengatasi sebarang kekurangan atau untuk menutupi jurang-jurang kepincangan yang ada. Inilah sasaran utama masa depan untuk dipenuhi,” tekan Baginda.

    Dalam merangka perancangan ABDB, Baginda juga menekankan keperluan untuk mempunyai Defence Posture yang jelas sesuai dengan keupayaan dan kapasiti ABDB sambil memperkasa pendekatan Whole of Nation dalam konteks Holistic Defence.

    Baginda turut menyeru agar ABDB perlu terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan dalam sama-sama mempertahankan kedaulatan negara, khasnya sempadan darat, kawasan maritim dan ruang udara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...