Wednesday, May 22, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Bincang budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan, dan Alam Sekitar (SHENA) memperingati Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia dengan pelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHCON) 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan persidangan dua hari itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas SHENA.
     
    Tema Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia tahun ini adalah Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang memberi tumpuan terhadap perubahan iklim yang memberi kesan kepada tempat kerja, terutamanya menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pekerja.
     
    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya antara lain menekankan kesan kritikal mengenai perubahan iklim terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang mana ia mempengaruhi pelbagai sektor pekerjaan. 
     
    “Beban bahaya berkaitan iklim di tempat kerja dijangka meningkat pada masa hadapan di mana kesan ini berkemungkinan menyebabkan kesan yang ketara kepada kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan di tempat kerja terutama di rantau tropika Asia Tenggara, yang kini terdedah kepada suhu tinggi dan musim lembap,” tekannya.
     
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan perasmian persidangan dua hari sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Ucaptama disampaikan oleh Pakar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH) Kanan di ILO, Dr Yuka Ujita. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Menurutnya lagi, melalui platform seperti persidangan berkenaan, ia boleh mendorong perbincangan aktif ke arah kesediaan di tempat kerja seperti pengecaman bahaya, penilaian pekerjaan yang terdedah kepada perubahan iklim, menentukan strategi untuk menghapuskan atau meminimumkan kesan bahaya serta kepentingan mempunyai perancangan kecemasan dan langkah kesinambungan perniagaan sebagai tindak balas kepada bencana alam.
     
    Dalam menghadapi cabaran itu, jelasnya, kita mesti bermula dengan pendidikan dan kesedaran untuk memupuk minda penyesuaian dan langkah-langkah daya tahan untuk menjaga kesejahteraan pekerja.
     
    Persidangan berkenaan menjadi wadah penting bagi menghimpunkan pakar-pakar dan wakil kerajaan dan industri serta pakar kesihatan untuk mengongsikan ilmu dan pengalaman serta membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan dengan penambahbaikan dalam budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
     
    WSHCON 2024 menampilkan barisan penceramah antarabangsa dari pelbagai pertubuhan yang terlibat dalam meningkatkan piawaian keselamatan dan kesihatan tempat kerja, termasuk wakil-wakil dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM), Majlis Keselamatan dan KesihatanTempat Kerja Singapura (WSH Council), Persatuan Kebersihan Industri Malaysia (MIHA), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO). 
     
    Antara tetamu kehormat lain pada acara pembukaan tersebut adalah ahli-ahli Lembaga Pengarah SHENA, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat tempatan, perwakilan asing serta pemain utama dalam bidang keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE).
     
    Persidangan dihadiri oleh lebih 20 orang penceramah dari pelbagai sektor industri, 20 pameran dan dijangka menarik lebih 400 peserta tempatan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...