Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bincang kerjasama pertahanan Republik Korea, ASEAN

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Kementerian Pertahanan telah menyertai Mesyuarat Naib Menteri Pertahanan Republik Korea (ROK) – ASEAN 2022 dan Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2022 yang diadakan baru-baru ini, bertempat di Seoul, Republik Korea. Rombongan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi) di Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.

    Mesyuarat dan dialog tersebut merupakan dua acara tahunan anjuran Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Korea yang masing-masing bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama di antara Republik Korea dan negara-negara anggota ASEAN, dan bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang keselamatan dan keamanan melalui dialog di rantau Asia Pasifik, terutamanya di Semenanjung Korea.

    Pada tahun ini, Mesyuarat Naib Menteri Pertahanan ROK-ASEAN membincangkan langkah-langkah bagi perkembangan dan rancangan-rancangan pelaksanaan untuk kerjasama pertahanan di antara Republik Korea dan ASEAN.

    Manakala SDD kali ke-11 itu, dengan tema ‘Cara Menangani Cabaran Keselamatan Kompleks: Memupuk Perpaduan Antarabangsa’, mengutarakan pelbagai isu keselamatan yang tertumpu kepada isu-isu Semenanjung Korea, keselamatan Asia Pasifik, peranan tentera dalam peperangan hibrid dan kerjasama antarabangsa, serta isu berkaitan teknologi dalam pertahanan.

    SDD tahun ini turut mengungkayahkan mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Keselamatan Ruang Angkasa SDD bagi meneruskan perbincangan tahun lepas mengenai keselamatan ruang angkasa.

    Haji Adi Ihram juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dua hala dengan rakan-rakan sejawat dari Republik Filipina dan Republik Korea untuk membincangkan penglibatan dan kerjasama pertahanan yang menjadi kepentingan bersama.

    Haji Adi Ihram bergambar bersama pegawai tertinggi negara ASEAN dan Republik Korea pada mesyuarat yang berlangsung di Seoul, Republik Korea, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...