Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Boneka patung bertopeng dilihat kreatif?

    KABUL, AFGHANISTAN – Di bawah pemerintahan Taliban, boneka patung di kedai pakaian wanita di seluruh ibu negara Afghan, Kabul memberikan pemandangan yang menakutkan, kepala mereka ditutup dalam kain karung atau dibalut dalam beg plastik hitam.

    Boneka patung berhud itu merupakan simbol pemerintahan alim Taliban di Afghanistan. Namun dari satu segi, ia juga menunjukkan tentangan dan kreativiti oleh peniaga pakaian Kabul.

    Pada mulanya, Taliban mahu boneka patung tersebut tanpa kepala.

    Tidak lama selepas mereka merampas kuasa pada Ogos 2021, Kementerian Undang-undang Maksiat Taliban mengarahkan semua boneka patung mesti dikeluarkan dari tingkap kedai atau kepala mereka ditanggalkan, menurut media tempatan.

    Mereka mendasarkan arahan pada interpretasi undang-undang Islam yang melarang patung dan imej dalam bentuk manusia memandangkan ia boleh disembah sebagai berhala – walaupun ia juga sejajar dengan kempen Taliban untuk mengalih wanita daripada tumpuan khalayak ramai.

    Kepala boneka patung ditutup dalam beg plastik. – AP
    Kepala boneka patung ditutup dengan kain.- AP
    Kepala boneka patung ditutup di sebuah kedai pakaian wanita di Kabul, Afghanistan. – AP

    Beberapa peniaga pakaian mematuhi arahan tersebut, namun yang lainnya membantah.

    Mereka mengadu tidak dapat mempamerkan pakaian mereka atau merosakkan boneka patung yang mahal.

    Taliban terpaksa meminda perintah mereka dan sebaliknya membenarkan pemilik kedai menutup kepala boneka patung itu.

    Pemilik kedai perlu mengimbangi di antara mematuhi Taliban dan cuba menarik pelanggan. Pelbagai penyelesaian yang dikemukakan dipamerkan di Lycee Maryam Steet, jalan komersial kelas pertengahan yang didereti kedai pakaian di kawasan utara Kabul.

    Tingkap kedai dan bilik pameran dipenuhi dengan boneka patung dalam gaun dan pakaian majlis malam dihiasi pelbagai manik dan warna – dan kesemuanya dalam pelbagai jenis penutup kepala.

    Di sebuah kedai, kepala boneka patung ditutup dengan guni yang dibuat khas daripada kain yang sama dengan pakaian tradisional yang diperagakan. Saah satunya, dalam gaun ungu dihiasi manik kulit kowri, mempunyai hud ungu sedondon.

    “Saya tidak dapat menutup kepala boneka patung dengan plastik atau benda hodoh disebabkan ia akan membuat tingkap dan kedai kelihatan hodoh,” kata Bashir, tuan punya kedai. Seperti pemilik lain, dia bercakap kepada The Associated Press dengan syarat hanya dikenali dengan nama pertamanya disebabkan bimbang menerima tindakan balas dari Taliban.

    Pemilik kedai perlu menjadikan kedai mereka menarik – ekonomi telah runtuh sejak Taliban mengambil alih dan pembiayaan antarabangsa yang terputus telah mengheret semua penduduk dalam kancah kemiskinan.

    Pakaian yang penuh dengan hiasan adalah popular di Afghanistan untuk majlis perkahwinan, walaupun sebelum pemerintahan Taliban ia diasingkan berdasarkan jantina, memberikan wanita peluang berpakaian cantik di negara konservatif itu.

    Di bawah pemerintahan Taliban, majlis perkahwinan adalah satu daripada beberapa peluang terakhir untuk perhimpunan sosial. Namun dengan pendapatan amat terbatas, ia telah menjadi semakin ringkas.

    Menurut Bashir, jualannya adalah separuh berbanding sebelum ini.

    “Membeli pakaian perkahwinan, majlis makan malam dan tradisional tidak lagi menjadi suatu keutamaan bagi penduduk,” ujarnya. “Orang lebih memikirkan mengenai makanan dan kelangsungan hidup.”

    Seorang lagi pemilik kedai, Hakim, membalut kepala boneka patung dengan kerajang aluminium. Ia menambah kilauan kepada barang niaganya.

    “Saya menggunakan peluang daripada ancaman dan pengharaman ini dan melakukannya agar boneka patung menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya,” katanya.

    Bukan semua boneka boleh dihiasi secara terperinci. Di sebuah kedai, boneka dalam gaun tanpa lengan semuanya mempunyai karung plastik hitam menutup kepala. Pemilik kedai berkata dia tidak mampu memikirkan cara lain.

    Seorang lagi pemilik kedai, Aziz, berkata ejen Kementerian Undang-undang Maksiat sering meronda kedai dan gedung membeli-belah untuk memastikan boneka patung sama ada ditutup atau tanpa kepala.

    Dia bersikap acuh tidak acuh mengenai peraturan Taliban.

    “Semua orang tahu boneka patung bukan barang berhala, dan tidak ada sesiapa yang menyembahnya.

    Di semua negara Islam, boneka patung digunakan untuk mempamerkan pakaian,” katanya.

    Sejumlah kecil boneka patung lelaki dapat dilihat di tingkap kedai, juga dengan kepala bertutup, mencadangkan pihak berkuasa melaksanakan pengharaman secara menyeluruh.

    Taliban berkata pada mulanya mereka tidak akan mengenakan peraturan ketat yang sama ke atas masyarakat berbanding peraturan pertama yang dikuatkuasakan pada akhir 1990.

    Namun mereka telah mengenakan lebih banyak sekatan, terutamanya ke atas wanita.

    Mereka melarang wanita dan budak perempuan daripada menghadiri sekolah selepas gred enam, melarang mereka daripada bekerja dan menuntut wajah mereka ditutup apabila berada di luar.

    Pada hari biasa baru-baru ini, seorang wanita membeli-belah di Lycee Maryam Street melihat boneka patung bertutup itu.

    “Apabila saya melihatnya, saya rasa boneka patung berkenaan juga terperangkap, dan saya dibelenggu rasa takut,” kata wanita itu, yang hanya memberikan nama pertamanya, Rahima.

    “Saya rasa seolah-olah saya melihat diri saya di sebalik tingkap kedai berkenaan, seorang wanita Afghan yang telah kehilangan segala hak-nya.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...