Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    BSRC FC Academy A juara Piala Presiden

    Oleh SIM Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Pasukan BSRC FC Academy A berjaya menjuarai kejohanan Piala Presiden BSRC Grassroots B10 dengan mengutip 16 mata dalam kejohanan yang berlangsung di Padang BSRC, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Sementara itu, Pasukan Brazillian Football Academy (BFA) menduduki tempat kedua dan Pasukan DASH Junior Soccer A berjaya menduduki tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat, menyaksikan kejohanan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Feisal bin Haji Mohd Eusoff.

    Turut hadir semasa kejohanan dan majlis penyampaian hadiah berkenaan ialah Naib Presiden BSRC, Siti Azzahra binti Haji Hanafi; Pemangku Setiausaha Agung FABD, Haji Matali bin Haji Tahir serta ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Jamilah binti Pengiran Haji Bujang dan Pengiran Haji Jufry bin Pengiran Haji Tejudin.

    Pada majlis itu, Haji Feisal berkata, “Saya rasa amat teruja menyaksikan kejohanan yang dikendalikan dengan jayanya ini. FABD akan terus menyokong apa saja acara yang dilaksanakan oleh pihak akademi di peringkat daerah.”

    Pada kejohanan ini, ulasnya, banyak pemain telah mempamerkan bakat yang tinggi dan mempunyai potensi yang cerah untuk diserapkan ke peringkat yang lebih mencabar.

    Beliau menyatakan hasrat FABD untuk merubah landskap bola sepak negara telah merangka beberapa strategi menerusi program-program dan aktiviti-aktivti bola sepak bagi semua peringkat di seluruh negara.

    Tujuh pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan iaitu BSRC FC Academy A, BSRC FC Academy B, DASH Football Academy, SHADA FT, DASH Juniors Soccer A, DASH Juniors Soccer B dan Brazillian Football Academy (BFA).

    Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak BSRC berkenaan dihasratkan untuk meningkatkan reputasi dan memupuk pemain-pemain akar umbi Kelab BSRC di samping menyokong aktiviti sukan terutama dalam komuniti di Daerah Belait dan bagi program akademi ke peringkat kebangsaan.

    Haji Feisal dan Pasukan BSRC Academy A bergambar ramai semasa kejohanan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...