Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Norris bersinar di Grand Prix Miami

    MIAMI, 6 MEI – Lando Norris dari McLaren memenangi perlumbaan Formula Satu pertama dalam kariernya dengan kemenangan yang mengejutkan ke atas juara dunia, Max Verstappen di Grand Prix Miami pada Ahad.

    Dengan memberikan nafas baharu kepada musim F1 yang berisiko menjadi kisah seorang pelumba, Norris, dalam perlumbaan ke-110 untuk McLaren, menewaskan Verstappen sebanyak tujuh saat dengan pemandu Ferrari, Charles Leclerc menduduki tempat ketiga.

    Verstappen, yang bermula di petak pertama telah memenangi empat daripada lima perlumbaan pembukaan musim ini dan memimpin senarai kejuaraan dunia.

    Keadaan adalah seperti biasa dengan pelumba Belanda itu, yang telah memenangi dua perlumbaan Miami sebelum ini, mendahului sehingga pusingan ke-24 apabila dia masuk ke lorong hentian dan rakan sepasukan Norris di McLaren, Oscar Piastri mengambil alih pendahuluan.

    Piastri dari Australia masuk ke lorong hentian empat pusingan kemudian, membolehkan Norris mendahului dan pemandu Britain itu tidak pernah menoleh ke belakang.

    Yang penting, Norris dapat masuk ke lorong semasa kereta keselamatan keluar pada pusingan ke-30, memberikannya kelebihan masa yang berharga yang tidak pernah dilepaskan.

    Kereta keselamatan itu keluar selepas Kevin Magnussen memotong Logan Sargeant, menyebabkan pemandu Amerika Williams itu merempuh dinding, membawa bendera kuning.

    Norris, yang mempunyai 15 podium sebelum kemenangan pertamanya, memanfaatkan sepenuhnya kereta keselamatan itu dan dengan Verstappen menghadapi kesukaran untuk mengejar, dia meraih kemenangan sulungnya.

    Ia adalah kali pertama Verstappen tewas, apabila dia menamatkan perlumbaan, sejak pelumba Ferrari, Carlos Sainz menang di Singapura September tahun lalu. – AFP

    Lando Norris meraikan kemenangan di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Miami 2024 di Autodrome Antarabangsa Miami di Miami Gardens, Florida pada 5 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...