Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    ‘Buru kepelbagaian ekonomi’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Tidak ada sebuah rantau atau negara di dunia terhindar daripada impak pandemik COVID yang menjejaskan susunan sosioekonomi serantau dan global sehingga mengganggu rantaian bekalan global, membataskan aktiviti ekonomi serta menyekat pergerakan manusia untuk merentas sempadan.

    “Dengan Negara Brunei Darussalam memulakan pemulihan ekonomi pasca pandemik, adalah kritikal bagi kita untuk memikirkan semula dan mempertimbangkan strategi-strategi maju ke hadapan bagi memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

    “Bagaimanapun, jalan di hadapan tidak akan lancar dan kita akan tetap berdepan pelbagai cabaran,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapan khas bertajuk, Ekonomi Brunei Ke Arah Wawasan Brunei 2035: Di Manakah Kita?, semasa simposium Minggu Ekonomi, Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun (MYCE) Brunei 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Seperti yang disaksikan, ketika banyak ekonomi di seluruh dunia sedang pulih daripada pandemik, kita pada masa ini, berhadapan dengan satu lagi krisis iaitu inflasi global khususnya inflasi makanan, tekan Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa berucap pada Minggu Ekonomi, MYCE Brunei. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara jemputan yang hadir pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Tetapi, tegasnya, usaha kita untuk mengejar kepelbagaian ekonomi harus diteruskan dan berpandukan kepada Pelan Tindakan Ekonomi, khususnya dalam mencartakan pelan induk dan hala tuju perindustrian kita.

    Namun begitu, pembentukan strategi kepelbagaian ekonomi kita, harus kekal mampan dan sentiasa mengambil kira serta peka terhadap alam sekitar dan meminimumkan sebarang kesan iklim supaya dapat memastikan biodiversiti kita kekal dipelihara serta dilindungi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata, lima sektor keutamaan yang dikenal pasti iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, ICT, pelancongan serta perkhidmatan akan menjadi tumpuan untuk memacu usaha kepelbagaian kita dalam tahun-tahun mendatang.

    Beliau menjelaskan meningkatkan pelaburan dan aktiviti dalam sektor-sektor berkenaan akan menggalakkan pertumbuhan industri, meningkatkan eksport dan menjana lebih banyak pekerjaan.

    Untuk menyokong pembangunan sektor-sektor ini, banyak yang perlu dilakukan, katanya, di mana ia termasuk memperbaiki kesalinghubungan global dan serantau, yang akan membantu warga dan perniagaan untuk berkembang ke pasaran luar dengan menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana meneroka dan menyertai dalam rantaian nilai serantau dan global serta memanfaatkan perjanjian perdagangan yang sedia ada.

    “Menjadi sebuah ekonomi kecil yang bergantung pada import bagi penggunaan dan inputnya, kita akan terus memperjuangkan sebuah ekonomi terbuka dengan sistem perdagangan perbagai hala yang menguntungkan kedua-dua pihak, telus dan stabil dengan rakan-rakan perdagangan kita,” tambahnya.

    Kerajaan Brunei, katanya, akan terus mengekalkan sebuah ekosistem perniagaan kondusif, melabur dalam modal insan, memanfaatkan teknologi digital dan meneroka laluan baharu untuk memperkemaskan cara bekerja serta memperbaiki penyampaian sektor awam.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata salah satu kebimbangan utama yang dihadapi dalam usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik adalah kemungkinan penyahglobalisasian dunia, dengan ekonomi dunia dijangka akan berkemungkinan berpecah kepada blok berasingan.

    Bersama-sama dengan rantau ASEAN yang lain, Brunei juga sangat bergantung pada pelaburan rentas sempadan bagi pembangunan dan pertumbuhan ekonominya.

    Beliau menekankan pelaburan merupakan elemen penting kepada usaha integrasi ekonomi keseluruhan dalam ASEAN.

    Perkembangan itu mendorong kita, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung penuh kepada perdagangan, untuk memanfaatkan memorandum persefahaman dan perjanjian dua hala kita serta juga Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti RCEP dan CPTPP.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...