Sunday, May 19, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Garis panduan aktiviti fizikal dilancar

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, kanser, diabetes dan strok adalah punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam.

    Untuk mengelakkan peningkatan NCD, langkah-langkah untuk mencegah faktor risiko yang berkaitan seperti pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan kegiatan fizikal dan merokok telah dilaksanakan.

    Melakukan kegiatan fizikal akan memberikan banyak manfaat dari segi kesihatan justeru memainkan peranan penting dalam pencegahan dan kawalan NCD.

    Oleh itu, salah satu inisiatif bagi meningkatkan kegiatan fizikal, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Garis Pandu Kegiatan Fizikal Kebangsaan (NPAG) Edisi ke-2 bagi Negara Brunei Darussalam, di Dewan Grand Cesar, Hotel Mulia, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengunjungi pameran selepas pelancaran buku NPAG di Dewan Grand Cesar, Hotel Mulia, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

    Pada sebelah petangnya, taklimat mengenai buku NPAG Edisi ke-2 telah disampaikan kepada para jemputan dari pusat kecergasan dan gimnasium.

    Taklimat tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tentang kegiatan fizikal dan gaya hidup sedentari.

    NPAG Edisi ke-2 itu mengandungi beberapa saranan baharu bagi meningkatkan kegiatan fizikal dan juga tajuk baharu mengenai kesan sampingan daripada gaya hidup sedentari.

    Selain itu buku tersebut juga menerangkan mengenai tahap dan tempoh melakukan kegiatan fizikal bagi kumpulan peringkat umur yang berbeza, termasuk kanak-kanak kecil di bawah umur lima tahun, di samping mengamalkan gaya hidup sedentari termasuk masa skrin semasa penggunaan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer, televisyen atau permainan elektronik yang boleh menjejaskan kesihatan terutama sekali kanak-kanak dan remaja pada masa ini.

    Selain itu, garis panduan itu juga memuatkan tip yang selamat untuk melakukan kegiatan fizikal semasa bulan Ramadan.

    Buku tersebut boleh digunakan oleh profesional-profesional kesihatan di hospital dan klinik untuk memberi nasihat kepada pesakit, terutamanya mereka yang terlibat dalam pengurusan NCD serta faktor risikonya.

    Selain itu, ia juga boleh digunakan oleh tenaga pengajar di semua peringkat pendidikan dan juga jurulatih kelab gim, sukan, pusat kecergasan dan organisasi.

    Malahan, ia juga boleh digunakan untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang kegiatan fizikal dan gaya hidup sedentari melalui pemasaran media sosial, kempen kesihatan dan juga aplikasi BruHealth.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...