Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Cari keyakinan diri kejar impian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Keyakinan diri itu lahir dari dalam diri seseorang itu sendiri, ia tidak harus dipengaruhi oleh tanggapan negatif orang lain atau persekitaran tetapi harus wujud dalam diri seseorang itu sendiri yang inginkan yang terbaik untuk dirinya.

    Oleh itu, untuk merubah kehidupan, ia bermula dengan satu keputusan dan kita harus cekal serta berpegang teguh pada keputusan itu dalam mengejar impian itu.

    Perkara itu ditegaskan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings Pte Ltd, Muhammad Termizi bin Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi Wahid semasa Sesi Bimbingan Hidup bertajuk ‘Dapatkan Semula Keyakinan Awda dan KejarImpian Terbesar Awda’ pada Konvensyen Hari Belia 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir semasa sesi bimbingan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebuda-yaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin serta belia-belia dari keempat-empat daerah.

    Semasa sesi itu, Ustaz Mizi menekankan walaupun tajuk sesi adalah untuk mendapatkan semula keyakinan, perkara yang penting adalah untuk mencari keyakinan itu terdahulu.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan (satu dari kanan), Hajah Nor Ashikin (tiga dari kanan) dan Haji Zakaria (dua dari kanan) yang turut hadir semasa Sesi Bimbingan Hidup di Konvensyen Hari Belia 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Ustaz Mizi Wahid menyampaikan ceramah semasa Sesi Bimbingan Hidup bertajuk ‘Dapatkan Semula Keyakinan Awda dan Kejar Impian Terbesar Awda’.

    Beliau turut mengongsi kisah perjalanan hidupnya dari kecil, mengenai bagaimana beliau mencari keyakinan diri untuk meneroka peluang serta berhadapan dengan cabaran yang hadir dalam kehidupannya.

    Menurut beliau, dalam dunia serba moden dengan kehadiran dan penggunaan media sosial yang meluas, kita sering kali berhadapan dengan pelbagai tanggapan atau komen negatif yang akan memberikan kesan kepada diri kita.

    Beliau menekankan bahawa kita tidak harus memberikan tumpuan kepada kehidupan orang lain yang dikongsi melalui media sosial tetapi harus memberikan keutamaan kepada perkara yang membawa kebahagiaan kepada diri kita.

    Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan supaya warga net peka akan penggunaan media sosial mereka serta untuk mengongsi perkara-perkara yang sesuai serta tidak terlalu menghabiskan masa di media sosial yang akan memberi kesan negatif kepada diri sendiri.

    “Oleh itu, kita harus bijak untuk menipis tanggapan negatif itu dan melihat ke dalam diri kita sendiri untuk mencari keyakinan diri yang membina kita supaya kita akan lebih mencintai diri kita,” ujarnya.

    Ustaz Mizi dalam sesi itu juga mengongsi 10 kaedah untuk meningkatkan harga diri (self esteem) seseorang iaitu dengan bergaul bersama mereka yang optimis, bertutur diri yang positif (Positive self-talk), peka akan kualiti terbaik mereka, meningkatkan penampilan mereka, melihat orang yang ingin mereka jadi, menjadi rakan yang baik kepada seseorang, menggunakan kata-kata yang menggalakkan, gambarkan kejayaan, kurang risau serta bangun dengan gembira.

    Beliau berkata bahawa kita harus mempunyai perasaan yang baik terhadap diri kita kerana apabila kita tahu siapa diri kita dan kita gembira dengan orang yang kita jadi, setentunya kita akan dapat berhadap dengan segala pasang dan surut dalam kehidupan kita.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...