Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    ‘Cermin emas’ terakhir teleskop NASA dibuka

    CAPE CANAVERAL, FLORIDA, 9 JAN – Teleskop angkasa lepas NASA membuka cermin besarnya yang bersalut emas, berbentuk bunga kelmarin, langkah terakhir dalam pelancaran dramatik balai cerap itu.

    Bahagian terakhir cermin 21 kaki itu diayunkan di tempatnya atas arahan pengawal penerbangan, melengkapkan pelancaran teleskop angkasa James Webb. “Saya kagum mengenainya. Satu pencapaian yang menakjubkan. Kami melihat corak yang indah di luar sana di langit sekarang,” kata Thomas Zurbuchen, ketua misi sains NASA.

    Lebih berkuasa daripada teleskop angkasa Hubble, Webb bernilai AS$10 bilion itu akan mengimbas kosmos untuk pancaran cahaya dari bintang dan galaksi pertama yang terbentuk 13.7 bilion tahun lalu. Untuk mencapai matlamat ini, NASA terpaksa memasangkan Webb dengan cermin terbesar dan paling sensitif yang pernah dilancarkan – ‘mata emasnya’, sebagaimana digelar para saintis.

    Webb sangat besar sehingga terpaksa dilipat gaya origami untuk dimuatkan dalam roket yang berlepas dari Amerika Selatan dua minggu lalu. Operasi paling berisiko berlaku pada awal minggu, apabila pelindung matahari sebesar gelanggang tenis dibentangkan, memberikan lindungan bawah sifar untuk cermin dan pengesan inframerah.

    Pengawal penerbangan di Baltimore mula membuka cermin utama pada Jumaat lalu, membuka bahagian kiri seperti meja berdaun. Suasana menjadi lebih ceria kelmarin, dengan muzik rancak memenuhi bilik kawalan apabila bahagian kanan mula masuk ke tempatnya.

    Selepas bertepuk tangan, pengawal segera kembali bekerja, meletakkan semuanya. Mereka melompat berdiri, bertegur sapa dan bersorak dari sebalik pelitup muka apabila operasi akhirnya selesai dua setengah jam kemudian, melakukan yang terbaik untuk melaksanakan penjarakan sosial kerana lonjakan global kes COVID-19. – AP

    Anggota kejuruteraan di pusat operasi misi teleskop angkasa James Webb NASA di Institut Sains Teleskop Angkasa di Baltimore memantau kemajuan apabila sayap cermin utama kedua balai cerap berputar pada kedudukannya. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...