Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    China terus tingkatkan tahap keterbukaan

    BEIJING, 18 MAC – Urusniaga korporat asing di China dalam keadaan stabil pada Januari hingga Februari lepas manakala penggunaan pelaburan asing melebihi AS$100 juta meningkat 74.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata jurucakap Kementerian Perdagangan China, Gao Feng.

    Beliau berkata jumlah penggunaan pelaburan asing sebenar pada dua bulan pertama tahun ini meningkat 37.9 peratus berbanding tempoh sama 2021 dan turut mencatat rekod baharu.

    Prestasi itu didorong tiga faktor utama iaitu kemampanan pertumbuhan ekonomi China dalam jangka panjang, keberkesanan dasar menstabilkan pelaburan asing dan iklim perniagaan di China yang semakin baik.

    “Sejak awal tahun ini, ekonomi terus pulih dengan mantap, permintaan terhadap pengeluaran meningkat dengan pesat, dan penggunaan pulih secara berterusan. Kesemua elemen ini meningkatkan keyakinan pelabur asing,” katanya dalam sidang taklimat di sini, pada Khamis

    Menurut laporan tinjauan, masing-masing dikeluarkan Dewan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) di China dan Dewan Perdagangan Jerman di China baru-baru ini, 83 peratus syarikat AS dan 96 peratus syarikat Jerman terus bersikap optimistik terhadap pasaran China.

    Pada masa sama, sebanyak 66 peratus syarikat AS dan 71 peratus syarikat Jerman turut merancang untuk meningkatkan pelaburan di China.

    Menurut statistik, untuk dua bulan pertama 2022, pelaburan sebenar AS dan Jerman di China masing-masing meningkat 36.4 peratus dan 109.1 peratus.

    Antara sumber utama pelaburan asing yang lain, pelaburan dari Singapura dan Korea Selatan masing-masing meningkat 24.1 peratus dan 24 peratus, dan negara-negara yang terlibat dengan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan ASEAN masing-masing meningkat 27.8 peratus dan 25.5 peratus.

    Mengulas mengenai dasar memantapkan pelaburan asing, Gao berkata kekhuatiran korporat asing pada tahun lalu dipandang serius oleh pihak berkuasa berkaitan.

    Beliau berkata beberapa dasar dikeluarkan untuk memastikan penyertaan secara sama rata pelaburan domestik dan asing dalam pemerolehan projek kerajaan, menyokong pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) asing menikmati dasar kutipan cukai keutamaan untuk import inovasi saintifik dan teknologi serta langkah-langkah keutamaan yang lain.

    Gao memaklumkan bahawa China akan terus meningkatkan tahap keterbukaan untuk mengalu-alukan pelabur dari seluruh dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...