Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    COVID-19: Tiga kes tempatan, dua lagi import

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Hanya lima kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,470 orang.

    Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, daripada jumlah tersebut, tiga adalah kes tempatan manakala dua lagi kes import.

    Yang Berhormat Dato mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    “Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 2,681 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.2 peratus,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Dato, tidak ada kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan satu kes masih dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO) di unit rawatan intensif.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Pemangku Menteri Pendidikan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Tujuh kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,272 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 98 kes,” jelas beliau lagi.

    Sementara itu, kadar penggunaan katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 2.6 peratus.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan, setakat kelmarin (29 Disember) sebanyak 94.5 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 93.3 peratus telah menerima dua dos vaksin manakala itu, 19.5 peratus bagi telah menerima tiga dos.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menasihatkan semua orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi segala arahan dan garis panduan pihak kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

    “Semoga rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan terselamat daripada segala bencana dan musibah, khususnya daripada wabak COVID-19,” ujarnya.

    Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato juga memaklumkan bahawa sidang media situasi terkini COVID-19 akan ditiadakan esok (31 Disember) hingga 2 Januari 2022 dan akan diteruskan pada 3 Januari 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...