Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Cubaan jual daging tanpa permit digagalkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Lebih 70 kilogram (kg) daging yang dipercayai tanpa permit halal dan cuba dijual di negara ini telah dirampas dalam Operasi Bersepadu di kawasan bangunan komersial Kampung Kiarong baru-baru ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, operasi yang dijalankan oleh para pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) di Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada 3 Oktober lalu, jam 8 malam di kawasan terbabit telah menemui sebanyak 60.4kg tongkeng dan 10kg sayap ayam mentah dalam but sebuah kenderaan.

    Keseluruhan 70.4kg daging itu dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import halal dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada JKED untuk siasatan serta tindakan lanjut.

    Sehubungan itu, KHEU mengingatkan mana-mana syarikat yang hendak membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan permit import halal dari Majlis Ugama Islam di samping memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain berkaitan pengimportan daging halal. 

    Ia adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di negara ini khususnya kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya.

    BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

    Kementerian juga mengucapkan penghargaan dan berterima kasih kepada orang ramai atas perkongsian maklumat berhubung aktiviti seumpamanya demi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini.

    Bagi aduan mengenai kegiatan dan perkongsian mengenai sebarang perlanggaran undang-undang membabitkan daging halal, bolehlah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH di talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Daging berjumlah keseluruhannya 70.4kg semasa ditemui dalam but sebuah kenderaan di kawasan bangunan komersial Kampung Kiarong baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...