Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Abadikan kenangan majlis raja sehari

    Oleh Ak zaki Kasharan

    Sudah menjadi idaman setiap pasangan pengantin baharu, majlis raja sehari atau lebih sinonim dengan majlis persandingan adalah hari paling indah yang ditunggu-tunggu untuk memeterai hari terpenting dalam seumur hidup.

    Persiapan demi persiapan, daripada menentukan buah tangan majlis, khidmat katering sehinggalah pakaian pengantin yang melambangkan mempelai sebagai raja sehari. Jadi tidak hairanlah semua mempelai ingin tampil cantik dan mahukan yang terbaik untuk hari persandingan mereka.

    Sehubungan itu juga, sesetengah mempelai pasti ada yang menjadikan sesuatu sebagai kenangan semasa hari persandingan mereka di samping merakamkan gambar seperti memiliki baju pengantin sendiri.

    Tidak dinafikan dengan menjadikan baju pengantin sebagai sesuatu yang sentimental boleh membantu pasangan itu mengimbau kenangan manis mereka untuk dikongsi kepada anak cucu atau dipamerkan kepada orang awam.

    Pasti ramai dalam kalangan orang awam di luar sana mempunyai hasrat yang sama seperti pasangan Haji Jamain bin Momin dan Dr Hajah Jamilah binti Haji Mohd Yusof yang memiliki hati yang cukup murni untuk menyumbangkan baju pengantin mereka kepada Jabatan Muzium-Muzium sebagai tambahan kepada koleksi bahan kebudayaan yang sedia ada.

    Haji Jamain dan Dr Hajah Jamilah bergambar bersama baju pengantin mereka yang disumbangkan kepada Jabatan Muzium-Muzium, baru-baru ini.

    Meskipun sudah mencecah usia lanjut dan telah bersara daripada perkhidmatan awam, pasangan ini masih lagi teruja untuk memberikan sumbangan seumpama itu, yang merupakan salah satu cara mereka bagi memberikan sumbangan yang bermanfaat pada masyarakat, negara dan generasi-generasi penerus pada masa yang akan datang.

    Berkesempatan ditemui penulis semasa majlis penyerahan bahan kebudayaan yang berlangsung pada baru-baru ini di Bilik Pekerma Dewa, Tingkat 1, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam, pasangan berkenaan menceritakan sedikit sebanyak mengenai pakaian pengantin yang disumbangkan tersebut.

    Pakaian pengantin berkenaan terdiri daripada sepasang baju pengantin lelaki dan sepasang baju pengantin perempuan merupakan pakaian yang digunakan mereka sendiri semasa majlis persandingan mereka yang berlangsung pada 30 Ogos 1981.

    Pakaian tersebut siap dibuat pada akhir tahun 1980 dan memakan masa hampir setahun untuk menyiapkannya yang mana ia merupakan hasil tenunan kakak kandungnya, Dayang Salmah binti Haji Mohd Yusof.

    Kongsinya lagi, kali kedua pakaian tersebut digunakan semasa Majlis Mandi Belawat pada tahun 1983 dan kemudiannya digunakan oleh adik-beradik, dan saudara mara mereka seperti mana yang diketahui pada zaman dahulu belum ada lagi sistem penyewaan pakaian pengantin dan seumpamanya.

    Pakaian tersebut merupakan hadiah sempena perkahwinan mereka yang diberikan oleh orang tua Dr Hajah Jamilah di mana menurut arwah ibunya harga pakaian pengantin berkenaan pada ketika itu mencecah harga $6,000.

    Pada mulanya mereka berhasrat untuk memberikan pakaian tersebut kepada anak-anak mereka, namun anak-anak mereka turut mendukung hasrat murni kedua orang tuanya tersebut untuk menyumbangkan pakaian pengantin berkenaan ke muzium.

    Pakaian pengantin yang berusia lebih dari 40 tahun tersebut diharap dapat membuka mata dan hati orang ramai di negara ini yang berhasrat untuk menyumbangkan khazanah peribadi mereka berupa bahan budaya dan yang seumpamanya kepada Jabatan Muzium-Muzium dan pada masa yang sama dapat memelihara bahan budaya tersebut untuk dikongsikan kepada orang ramai.

    Penyerahan bahan budaya tersebut telah diterima oleh Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.

    Semasa majlis tersebut, Pengiran Hajah Mahani menjelaskan dengan adanya sumbangan seumpama itu bahan budaya tersebut juga dapat digunakan sebagai bahan pameran sama ada di dalam atau luar negara bagi menunjukkan kepada orang di luar sana, memandangkan mutu dan bahan yang disumbangkan berada dalam keadaan yang baik dan utuh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...