Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Cubaan seludup 6,650 karton rokok gagal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Cubaan dua pemandu untuk menyeludup masuk sejumlah 6,650 karton rokok telah dipatahkan oleh Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam Operasi Sepadu Taskforce COVID-19 kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB di sini, cubaan menyeludup itu digagalkan setelah pasukan peronda mengekori pemandu-pemandu mencurigakan itu di persimpangan kawasan Kampung Junjongan tengah malam 16 Julai lalu.

    Menyedari kehadiran pasukan peronda, kedua-dua suspek kenderaan segera keluar dan melarikan diri menuju kawasan sempadan.

    Pemeriksaan ke atas kenderaan dan sekitar kawasan itu telah menemukan sejumlah 133 kotak hitam yang mengandungi 6,650 karton rokok keseluruhannya diletakkan di kawasan tepi jalan tidak jauh dari tempat kenderaan yang ditinggalkan suspek.

    Barang-barangan tegahan itu dirampas dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan awal seterusnya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

    PPDB akan sentiasa memantau kawasan sekitar sempadan dan mengetatkan lagi kawalan bersama agensi lain dari semasa ke semasa dalam usahanya menyekat kemasukan individu secara haram dan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang negara ini.

    Sejumlah 6,650 karton rokok dalam 133 kotak hitam telah ditemui oleh PPDB setelah suspek yang cuba menyeludupnya melarikan diri. – Gambar serahan PPDB

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...