Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Curi kereta: Dua lelaki tempatan dipenjara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini,menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua orang lelaki tempatan berikutan pengakuan bersalah bagi kesalahan berkaitan curi.

    Mohamad Azwandy bin Akob dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan dua kali sebatan serta denda $1,000 bagi pertuduhan mencuri kereta, khianat dengan menyebabkan kerosakan pada kenderaan curi, dan kerana menukar nombor plat kereta curi.

    Defendan perlu menjalani hukuman penjara tambahan sebulan jika gagal membayar denda.

    Sementara itu, Mohammad Ismahadi bin Saidi menerima hukuman penjara setahun atas kesalahan mencuri kereta.

    Fakta kes Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud menyatakan bahawa siasatan Polis Limau Manis mendapati bahawa kedua-dua mereka melakukan kesalahan berkenaan, bersama-sama orang ketiga, pada awal pagi 9 Ogos ketika mereka pergi ke kawasan Perindustrian Kampung Junjongan.

    Di sana, mereka melihat sebuah kereta dan membuka panel tingkap menggunakan pahat dan membuka kunci kereta. Mereka kemudian menghidupkan enjin kereta menggunakan kunci yang dibawa bersama.

    Seorang daripada mereka memandu kereta curi itu manakala seorang lagi memandu kereta yang mereka naiki.

    Mohammad Ismahadi memandu kereta curi itu dan meninggalkannya di Jalan Agau tidak jauh dari rumahnya. Mohamad Azwandy dan orang ketiga pulang ke rumah.

    Kemudian Mohamad Az-wandy bimbang perbuatan curi itu terbongkar, mengalihkan kereta berkenaan dan menyembunyikannya di bawah jambatan berhampiran.

    Kira-kira 4 petang hari yang sama, Mohamad Azwandy pulang mengambil kereta tersebut dan memandu ke Tanah Perkuburan Islam Datu Ahmad, Jalan Buang Tengkurok, Mukim Lumapas untuk menyembur cat badan kereta curi tersebut.

    Memandangkan cat sudah kering pada pukul 7 malam, dia memandu ke rumah rakannya di Kuala Lurah, Jalan Limau Manis. Keesokan paginya, Mohamad Azwandy memandu kereta itu ke arah jalan di Jalan Parit-Masin dan sekali lagi mengecat bumbung.

    Malam itu, Mohamad Az-wandy menukar tayar kereta dan rimnya dengan orang lain serta memasang set yang satu lagi pada kereta curi itu.

    Pada 11 Ogos, Mohamad Azwandy dan rakannya pergi ke sebuah syarikat kitar semula di Kampung Mulaut dan menjual tayar serta rim dari dalam kereta.

    Mereka kemudiannya pergi ke tempat kerja Mohammad Ismahadi di Kampung Masin untuk menyerahkan kereta itu kepadanya.

    Ini adalah masanya pihak polis yang menerima maklumat, menyerbu tempat itu dan menahan kedua-duanya.

    Dalam siasatan, Mohamad Azwandy mengakui turut menukar cukai jalan, plat asal depan dan belakang bagi mengelak dikesan sebagai kenderaan curi.

    Pihak pendakwaan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua mereka bukan baharu melakukan jenayah, kerana Mohammad Ismahadi baru dibebaskan dari penjara awal tahun ini.

    Kedua-dua mereka merayu kelonggaran mahkamah dan menyatakan, mereka terpengaruh dengan kalangan rakan yang menyebabkan mereka melakukan kesalahan itu.

    Dalam menjatuhkan hukuman, majistret menyatakan bahawa kedua-dua defendan dianggap sebagai orang dewasa dan matang yang harus sedar akan akibat daripada tindakan mereka kerana mereka juga bukan pesalah pertama, dan dipengaruhi oleh rakan-rakan adalah alasan yang tidak boleh diterima.

    Mahkamah juga mendapati bahawa kedua-dua mereka tidak menyesal, dan perbuatan mereka tidak menghormati harta benda orang lain memerlukan hukuman berat.
    Majistret Nur Eleana DSP Haji Hairol Arni mengendalikan kes itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...