Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Detik-detik terakhir kedai lama

    Oleh Gin Tay dan Mark Cheong

    TIONG BAHRU, SINGAPURA – Beberapa minit selepas wartawan foto Gin Tay dan saya sampai ke Pin Pin Piau Kay pada awal petang dua bulan lalu, penduduk lama Tiong Bahru, Danny Tan datang untuk berbual dengan pemiliknya, Rodney Goh.

    Tan, 59, seorang pesara dan sukarelawan Jawatankuasa Penduduk secara santai menggembirakan kami dengan cerita tentang bagaimana Tiong Bahru telah berubah dalam 30 tahun yang lalu, sebelum pergi dengan senyuman lebar di wajahnya, dan tanpa sebarang pembelian.

    Tidak lama selepas itu, seorang tukang urut lelaki dari rumah urut bersebelahan datang untuk menggunakan ‘perkhidmatan pertukaran wang’ Goh, di mana Goh memberinya syiling sebagai pertukaran wang kertas untuk digunakan pelanggannya.

    “Hello, pakcik Rodney!” sapa dua remaja sekolah menengah berhampiran. Mereka menjenguk kepala mereka ke dalam kedai untuk memanggil Goh dengan mesra, nampaknya sesuatu yang sering mereka lakukan. Perasaan akrab dan semangat komuniti di Tiong Bahru bukanlah asing bagi Goh, yang dibesarkan di kawasan kejiranan semasa kecil. Lelaki berusia 67 tahun itu menghabiskan zaman kanak-kanaknya di kedai yang sama, yang dijalankan datuknya dari 1965, dan akhirnya diwariskan kepada bapanya.

    Menjadi cucu pemilik bermakna menikmati keistimewaan kedai juga. “Kedai itu seperti kedai aiskrim peribadi saya,” kata Goh, yang bebas mengambil sebarang aiskrim, gula-gula dan biskut bila-bila masa dia mahu.

    Kedai ini telah ditempatkan di 71 Seng Poh Road sejak 1938.– ANN/The Straits Times
    Pelanggan lama dan penduduk Tiong Bahru, Danny Tan menyapa Goh. – ANN/The Straits Times
    Pemilik generasi ketiga Pin Pin Piau Kay, Rodney Goh menghabiskan zaman kanak-kanaknya di kedai yang sama, yang dijalankan datuknya.– ANN/The Straits Times
    Syiling yang dibungkus dalam kertas, digunakan sebagai prtukaran wang di kedai. – ANN/The Straits Times
    Rodney membawa beg kayu yang dibawa datuknya semasa berpindah ke Singapura dari Xiamen di China pada tahun 1938.– ANN/The Straits Times

    Kini kedai itu mencecah usia 84 tahun dan dijalankan tiga generasi yang akan menghentikan perniagaan untuk selamanya.

    Sejak ibunya yang merupakan sebahagian daripada kedai itu meninggal dunia akibat sakit tua pada 2020 ketika berusia 90 tahun, dia dan lima adik-beradiknya telah memutuskan untuk menjual ruang itu dan membahagikan harta pusaka.

    Apabila kami melawat kedainya pada awal Mei, kebanyakan bekalannya telah dikosongkan sama ada dijual semula atau dikembalikan kepada pembekalnya.

    Goh sepatutnya berpindah pada November lalu, tetapi pemilik baharu masih dalam proses mendapatkan permit yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan mereka dan berbesar hati membenarkan Goh meneruskan perniagaannya sehingga lesen mereka dimuktamadkan.

    Datuknya mula-mula menubuhkan kedai itu pada tahun 1938, di mana dia menyewa ruang dari majlis perbandaran. Pada tahun 1948, bapa Goh mengambil alih perniagaan itu, dan pada tahun 1965 selepas Singapura mencapai kemerdekaan, keluarga itu membeli ruang rumah kedai daripada kerajaan.

    Pada tahun 1982, Goh yang ketika itu berusia 27 tahun berhenti daripada pekerjaan tetapnya sebagai kerani bank yang dijawatnya selama lapan tahun dan memutuskan untuk meneruskan perniagaan keluarga. Ayahnya dalam keadaan lemah pada masa itu, dan dia memutuskan untuk mengusahakan kedai itu bersama ibunya.

    Goh menunjuk ke cermin di pintu masuk kedai dan memberitahu kami bahawa ia dipasang sejak 1979 yang digunakan untuk menjejaki pelanggan di kedainya seluas 1,500 kaki persegi.

    Itu adalah tahun yang sama di mana Goh membayar yuran francais kepada Econ Mini Mart, dan kedainya adalah sebahagian daripada kumpulan perintis kedai peruntukan untuk mengguna pakai model layan diri pasar mini.

    Sebelum itu, pekedai terpaksa memilih barangan secara manual untuk pelanggan yang akan menempah di pintu masuk. Dengan model perniagaan baharu ini, Goh mula membawa masuk lebih banyak barangan seperti mi Jepun dan Korea, serta beras dari China dan Vietnam.

    Walaupun dengan format pasar mini baharu, Goh berkata beliau menerima perdagangan tukar barang daripada pelanggan dari tahun 1970an hingga 1980an.

    “Orang ramai akan datang dengan hamper yang mengandungi biskut, coklat, abalon dan kerang kering, dan mereka akan menukarnya dengan beras, pencuci baju dan barangan rumah lain,” katanya. Dia kemudian akan menjual barang-barang yang dia dapat semasa pertukaran.

    Semasa kami berbual, seorang pekerja bernama Seet Chin Seng atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Seng’ bertanya kepada Goh tentang beberapa barangan yang mereka pulangkan kepada pembekal. Buat masa ini Ah Seng adalah satu-satunya pekerja Goh. Pada kemuncaknya dari 1970an hingga 1980an, terdapat lima pekerja, termasuk Goh, isterinya dan Ah Seng.

    Goh juga berkata demografi di Tiong Bahru semakin berubah dengan gentrifikasi kejiranan. Memandangkan Tiong Bahru adalah salah satu estet Lembaga Perumahan tertua di Singapura, dia masih mendapat pelanggan warga emas yang tinggal di sana sejak kawasan itu dibina.

    Pelanggannya yang sudah tua akan masuk dan membeli kebanyakannya satu barangan pada satu masa, dan kembali berulang kali sepanjang minggu, mengekalkan rutin untuk berjalan ke kedai dan membawa balik sedikit beban pada satu masa.

    Bapanya juga menyedari ramai warga emas tinggal bersendirian di kawasan itu, dan mula menyediakan perkhidmatan penghantaran pada tahun 1950an. Ini dilakukan pada salah satu daripada enam basikal mereka atau dua motosikal yang dilengkapi dengan kereta pengangkutan di sisi. Walaupun semua itu sudah lama berlalu, Rodney masih menggunakan keretanya untuk membuat penghantaran, kebanyakannya di sekitar kawasan Chin Swee dan Bukit Ho Swee.

    “Kami telah mengenali mereka selama bertahun-tahun, dan lama-kelamaan, mereka tidak berdaya. Semasa mereka memanggil kami untuk memesan dan menghantar bekalan kepada mereka, kami juga membantu mereka membeli makanan dari pasar,” kata Goh.

    “Kadang-kadang kami juga membantu orang tua membuat barangan DIY. Kami mempunyai tangga yang tinggi, jadi kami pergi ke rumah mereka untuk membantu mereka dengan perkara seperti menukar mentol lampu.”

    “Apabila saya bersara, saya mahu pergi berbasikal dan memancing,” kata Rodney. Tetapi dia menambah dia akan merindui berada di Tiong Bahru setiap hari.

    “Sejak 57 tahun lalu, saya berada di sini setiap hari. Kedai itu boleh dikatakan dapur saya,” kata Goh.

    “Anak-anak saya, ketika mereka di sekolah rendah, akan ke sini selepas kelas, mereka akan berehat di kedai dan membuat kerja rumah mereka di sini, dan kami akan makan malam sekeluarga di sini juga,” tambahnya.

    “Pemilik baharu mengatakan jika perniagaan mereka tidak berjaya, mereka akan mengubahnya menjadi pasar raya,” kata Rodney.

    “Saya pasti akan memohon kerja di sana jika ada kekosongan!” guraunya. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...