Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Dua pegawai perlawanan bola sepak Indonesia dipenjarakan

    SURABAYA, 9 MAC – Mahkamah Indonesia hari ini memenjarakan dua pegawai perlawanan bola sepak selepas didapati cuai dalam salah satu bencana stadium terburuk dalam sejarah sukan itu.

    Kejadian pada Oktober di sebuah venue di bandar Jawa Timur, Malang membunuh 135 orang selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang penuh sesak apabila penyokong menceroboh padang.

    Beratus-ratus orang melarikan diri ke jalan keluar sempit, mengakibatkan rempuhan yang menyaksikan ramai terpijak dan mati lemas, termasuk lebih 40 kanak-kanak.

    Ketua Jawatankuasa Penganjur Perlawanan, Abdul Haris didapati bersalah atas kesalahan cuai dan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan. Pendakwa raya memohon hukuman penjara enam tahun lapan bulan.

    “Defendan tidak membaca situasi itu dan tidak mengambil serius kemungkinan berlakunya situasi kecemasan atau huru-hara,” kata ketua hakim, Abu Achmad Sidqi Amsya kepada mahkamah di bandar Surabaya.

    Suko Sutrisno (tengah), seorang pegawai keselamatan, dan Abdul Haris (kanan), seorang penganjur perlawanan, menghadiri perbicaraan di mahkamah Surabaya. – AFP

    Keputusan itu merupakan keputusan pertama Indonesia mengenai tragedi itu.

    Sejurus kemudian, pegawai keselamatan, Suko Sutrisno juga didapati bersalah kerana cuai dan dijatuhkan hukuman penjara setahun.

    Pendakwa raya juga telah memohon enam tahun lapan bulan dalam kesnya.

    Hakim berkata Sutrisno “tidak menjangkakan huru-hara kerana tidak pernah berlaku situasi kecemasan sebelum ini.”

    Cholifatul Noor, seorang ibu yang kehilangan anak lelakinya berusia 15 tahun dalam tragedi itu berkata, hukuman itu terlalu ringan dan menyakitkan hati keluarga mangsa.

    “Saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana ini melibatkan banyak nyawa, bukan hanya nyawa seorang atau dua orang,” katanya kepada saluran tempatan Metro TV dengan sebak. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...