Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    EPR kurangkan kesilapan ubat-ubatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kesilapan ubat merupakan salah satu kesilapan perubatan yang sering dilaporkan di serata dunia dengan hampir 1.5 juta orang pesakit setiap tahun tercedera akibatnya manakala kos untuk merawat kecederaan berkaitan ubat-ubatan dianggarkan kira-kira $3.5 bilion.

    Data di negara ini turut menunjukkan trend yang serupa berdasarkan laporan-laporan insiden yang diterima menerusi Alat Laporan Insiden Kementerian Kesihatan berasaskan laman sesawang, jelas Konsultan Gred II, Ketua Unit Keselamatan Pesakit, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Yung Chee Kwang dalam kata alu-aluannya semasa Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang berlangsung di Lobi 5, Hospital RIPAS, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian sambutan itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

    Dr Yung menerangkan bahawa penyediaan ubat-ubatan oleh profesional penjagaan kesihatan merupakan satu proses yang kompleks dengan melibatkan pelbagai proses atau langkah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa mendengarkan penerangan mengenai pameran sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia, kelmarin.
    Dr Yung semasa menyampaikan kata alu-aluannya.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang berlangsung di Lobi 5, Hospital RIPAS, kelmarin.

    Punca biasa kesilapan ubat, jelasnya lagi, termasuk diagnosis yang salah, kesilapan preskripsi, kesilapan pengiraan dos, amalan pengedaran ubat yang lemah, masalah berkaitan peranti ubat dan ubat, pentadbiran ubat yang salah, kegagalan komunikasi serta kurang pendidikan pesakit.

    Beliau menyatakan salah satu kunci untuk mengelakkan kesilapan ubat-ubatan yang dikenal pasti adalah penggunaan Rekod Preskripsi Elektronik (EPR) yang merupakan sebahagian daripada Bru-HIMS sejak 2013 dalam Kementerian Kesihatan.

    Beliau menerangkan bahawa rekod preskripsi elektronik mengandungi kesemua data yang dikehendaki secara sah untuk dimasukkan, label, mengeluarkan dan/atau mengemukakan permintaan pembayaran bagi sesuatu preskripsi.

    Ahli farmasi, jelasnya, boleh menggunakan rekod berkenaan sebagai satu alat untuk mengurangkan kesilapan ubat-ubatan dengan melindungi daripada kontraindikasi ubat, terapi pendua dan interaksi ubat.

    EPR itu juga membantu untuk mengurangkan kesilapan ubat dengan membantu ahli farmasi memantau dan mengaudit penggunaan. Ia membolehkan doktor untuk memasukkan arahan preskripsi ke dalam sebuah komputer atau peranti secara langsung serta mengurangkan secara signifikan keperluan bagi arahan bertulis tangan.

    Semua itu, tambahnya, akan membantu mengurangkan kesilapan ubat dengan menghapuskan preskripsi bertulis tangan yang sukar untuk dibaca, memastikan singkatan dan terminologi yang betul serta menggelakkan arahan kurang jelas dan maklumat yang ditinggalkan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan mengenai pentingnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pakar perubatan dan orang ramai berhubung keselamatan ubat.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyempurnakan perasmian sambutan, berpeluang untuk melihat lebih dekat dan diberikan penerangan mengenai pameran sempena sambutan serta mengadakan lawatan ke Wad 3 dan 4 yang merupakan wad contoh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...