Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Eriksen kembali sarung jersi kebangsaan

    COPENHAGEN, 15 MAC – Christian Eriksen akan kembali bersama pasukan kebangsaan Denmark hujung bulan ini buat kali pertama sejak mengalami serangan jantung di atas padang semasa Kejohanan EURO 2020 Jun lalu, menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Denmark hari ini.

    Pemain berusia 30 tahun, yang telah dipasang dengan defibrilator kardioverter, telah dipilih untuk bermain dalam perlawanan persahabatan pasukan Denmark menentang Belanda pada 26 Mac di Amsterdam dan bertemu Serbia pada 29 Mac di Copenhagen, tambah persatuan.

    Eriksen membuat kemunculan semula pada bulan ini bersama pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford.

    Pemain Denmark itu mengalami serangan jantung dalam perlawanan pembukaan Denmark di Kejohanan EURO menentang Finland di Copenhagen pada 22 Jun.

    Eriksen menghabiskan masa selama beberapa hari berada di hospital dan dipasang alat bantuan untuk mengawal degupan jantungnya.

    “Dia dalam keadaan baik. Kami memerhatikan dia dengan rapat. Saya baru-baru ini berada di London untuk menyaksikan dia bermain dan menilainya. Saya lihat dia menjalani latihan dan semasa perlawanan serta dari segi fizikal dia sangat cergas,” kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand kepada wartawan. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Eriksen diusung keluar untuk mendapatkan rawatan setelah diserang penyakit jantung dalam pertemuan menentang Finland di EURO 2020. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...