Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Fahami landskap ICT dalam negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Dalam usaha untuk memajukan lagi landskap industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) dengan kerjasama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) kini sedang membangunkan Profil Inovasi Digital Brunei Darussalam (DIP).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI dan EGNC, hari ini, DIP bertujuan untuk memberikan penilaian terhadap kapasiti negara dan kematangan ekosistem untuk membantu pihak berkepentingan dalam menavigasi landskap inovasi dengan tujuan untuk membina ekonomi yang berdaya saing, mampan dan didayakan ICT.

    Penilaian sedang dijalankan melalui satu siri penglibatan dengan pihak berkepentingan untuk menganalisa situasi semasa dan mencipta bersama penyelesaian yang sesuai untuk merapatkan jurang inovasi digital.

    Ke arah itu, satu bengkel telah diadakan hari ini di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan dihadiri oleh pelbagai wakil daripada agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik, rangkaian sokongan keusahawanan, sektor kewangan dan usahawan.

    Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucapan perasmian bengkel antara lain menekankan tentang keperluan untuk pihak berkepentingan bersama-sama menyumbang ke arah mendiagnosis kapasiti negara dengan tepat untuk inovasi digital serta membangunkan projek konkrit yang meletakkan negara sebagai peneraju digital di rantau ini, dengan Pelan Induk Ekonomi Digital, sebagai platform sekali gus bagi menerima pakai industri Revolusi Perindustrian 4.0.

    Antara yang mengikuti bengkel berkenaan. – Gambar serahan AITI

    Tambahnya, pihak berkepentingan juga diingatkan untuk mempertimbangkan agenda seluruh negara untuk transformasi digital agar usaha berkenaan berjaya.

    ITU menyediakan pengenalan mengenai beberapa siri aktiviti diikuti dengan menyelami penilaian kekuatan dan kelemahan negara dalam ekosistem inovasi digital.

    DIP antara lain berobjektif untuk menilai pelbagai aspek sumber yang terdapat dalam negara seperti pembiayaan yang menyokong pembangunan teknologi inovatif, tahap kecekapan bakat dalam kalangan masyarakat Brunei dan kesediaan infrastruktur.

    Dalam pada itu, baru-baru ini, ITU telah mengadakan satu pusingan temu bual dengan pihak berkepentingan utama yang menyumbang kepada pembangunan landskap inovasi ICT untuk memahami landskap semasa dan aspirasi masa depan negara, berkenaan dengan inovasi ICT.

    Dalam bengkel berkenaan, ITU berkongsi alat penilaian yang boleh digunakan oleh pihak berkepentingan untuk mengukur di mana kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam kitaran hayat keusahawanan, apakah jurang jelas yang perlu diberi keutamaan bagi tindakan segera dan program apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masa-lah yang dikenal pasti dalam ekonomi.

    Pihak berkepentingan kemudiannya membuat saranan tentang komponen yang diperlukan untuk memastikan mereka mampu merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan bersama-sama menghasilkan cadangan yang sesuai untuk pembangunan selanjutnya dalam ekosistem inovasi ICT.

    Hasil daripada alat penilaian boleh digunakan secara berkala untuk memantau status landskap industri ICT Brunei dan merancang langkah seterusnya.

    Perunding ITU berkongsi bahawa pihak berkepentingan boleh melihat bagaimana program telah menjejaskan kategori sasaran sama ada ia telah menyumbang secara berkesan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...