Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    FAO, Indonesia bekerjasama rapat kawal wabak FMD

    JAKARTA, 8 OGOS – Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bekerjasama erat dengan kerajaan Indonesia untuk memperkasakan usaha negara itu mengawal penyakit kaki dan mulut (FMD).

    FAO setakat ini telah menyampaikan 10,000 dos vaksin FMD dengan sokongan daripada kerajaan Australia melalui projek bersama FAO-Australia-ASEAN mengenai ‘Mekanisme Pengukuhan dalam Kesihatan Haiwan’.

    Menurut wakil FAO untuk Indonesia dan Timor Leste, Rajendra Aryal, dos itu adalah antara dos kumpulan pertama untuk memulakan kempen vaksinasi kebangsaan pada Jun tahun ini.

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata FAO telah membekalkan peralatan makmal tambahan untuk meningkatkan kapasiti pengesanan FMD kepada pusat siasatan penyakit.

    Sehingga 7 Ogos, Pasukan Petugas FMD Indonesia melaporkan penyakit itu telah menjejaskan ternakan lembu di 24 daripada 34 wilayah selepas kes pertama dilaporkan di Gresik, Jawa Timur pada 28 April.

    FMD menjangkiti sejumlah 465,834 ekor lembu, 291,383 daripadanya telah pulih, 5,037 mati, dan 7,815 terpaksa disembelih kerana keadaan haiwan itu yang telah merosot teruk.

    Sehingga wabak itu dikesan, Indonesia telah diisytiharkan bebas FMD sejak 1986, satu status yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada 1990.

    Kempen vaksinasi kerajaan Indonesia sedang dijalankan di wilayah terbabit, bersama-sama dengan usaha kawalan jangkitan nasional yang lain seperti mempertingkat kuarantin haiwan dan protokol biosekuriti.

    Kerajaan juga meneruskan rawatan perubatan untuk lembu yang sakit dan pembasmian kuman di ladang sebagai usaha untuk menyekat penularan FMD. – Bernama

    Gambar fail 26 Jun lalu menunjukkan kakitangan dari Pusat Kesihatan Haiwan menyuntik vaksin pada seekor lembu semasa program vaksinasi wabak kaki dan mulut (FMD) di seluruh negara di Bandung, Jawa Barat, Indonesia. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...