Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Fiesta De Le Munin ketengah hasil tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 2 OKT – Demi menyatupadukan penduduk kampung untuk sama-sama berkumpul menjual hasil tanaman sambil bersilaturahim, Perusahaan AMAS Lamunin dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), Daerah Tutong menganjur Fiesta De Le Munin di Bangunan Arah Maha Samasa Lamunin, bermula hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara selama tiga hari bersempena musim buah-buahan tempatan itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin dan isteri, yang dialu-alukan oleh Mejar (B) Mohd Said bin Haji Tinggal dan Haji Badar bin Haji Ali selaku pengerusi bersama majlis.

    Lebih 20 pengusaha dari Mukim Lamunin dan sekitarnya telah mengetengahkan produk buah-buahan segar seperti durian, rambutan dan kembayau, variasi jenis bunga-bungaan dan seni kraftangan asli seperti beg anyaman dan tongkat.

    Semasa ditemui, Mejar (B) Mohd Said menyatakan bahawa mereka menaruh harapan untuk menyaksikan penglibatan masyarakat setempat khususnya golongan belia negara untuk tampil bergiat aktif dalam menghasilkan produk jualan tidak kira daripada sumber pertanian, bunga-bungaan, seni kraftangan dan sebagainya meskipun bermula secara kecil-kecil.

    “Hal ini perlu disemai dalam jiwa setiap individu agar sama-sama meningkatkan tahap perekonomian diri, keluarga, masyarakat dan juga negara secara amnya” tambahnya.

    Terdahulu, acara yang merupakan kali kedua diadakan di Mukim Lamunin itu turut dimeriahkan dengan dua aktiviti riadah iaitu berbasikal dari lokasi perasmian menuju ke Tasek Merimbun sejauh 34 kilometer; dan mendaki Bukit Kota, Lamunin yang mana kedua-duanya turut dirasmikan pelepasannya oleh tetamu kehormat majlis.

    Acara berkenaan turut diserikan dengan pameran fotografi yang diketengahkan oleh Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam.

    Awang Ajmin melihat lebih dekat buah durian yang dijual semasa pesta jualan berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...