Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Forum SME BIBD bincang industri F&B

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Lebih 150 orang peserta daripada industri makanan dan minuman (F&B) menghadiri bahagian pertama daripada 10 bahagian Siri SME 360 BIBD yang membincangkan mengenai industri F&B di Brunei secara maya.

    Bahagian pertama siri forum maya yang dikendalikan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) itu diadakan selama dua hari bermula hari ini di mana ia membincangkan mengenai keadaan pasaran semasa fasa peralihan endemik, mencerminkan sentimen pasaran serta bagaimana perniagaan makanan dan minuman disesuaikan dengan norma baharu.

    Forum secara maya itu meliputi pelbagai topik termasuk kepimpinan, keselamatan operasi, inovasi, kemapanan dan impak sosial selaras dengan usaha BIBD untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana membangun kembali dalam keadaan pandemik COVID-19.

    Forum itu mengetengahkan penceramah-penceramah unggul termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad; Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek Khas di BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; Pengurus Besar Royal Brunei Culinary (RBC), Haji Jeff Hadiman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Revi Bhaskaran; Ketua Sekretariat Perumahan Iklim, Dina Yahya; Rakan Kongsi Urusan Deloitte, Zulfariq Zianuddin; Pengasas Bersama Bake Culture, Nicky Wong dan pempengaruh makanan, Thanis Lim.

    Dalam sesinya bertajuk ‘Melindungi Kakitangan & Perniagaan Awda daripada Risiko COVID-19’, Haji Mohammad Yusri menekankan perlunya untuk mematuhi SOP kerajaan dan garis panduan langkah berjaga-jaga di mana ia merupakan kunci dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan semua kakitangan BIBD yang di bawah jagaan mereka.

    Panel pembentang dan peserta yang menghadiri bahagian pertama Siri SME360 BIBD melalui sesi forum maya, kelmarin.– Gambar serahan BIBD

    Beliau juga mengongsi pelan kelangsungan perniagaan BIBD memainkan peranan penting dalam membimbing bank untuk mengemudi cabaran-cabaran COVID-19 dan memastikan operasi perniagaan kekal berjalan secara teratur dan licin semasa pandemik.

    BIBD telah memperkenalkan beberapa inisiatif utama untuk membangun perniagaan pulih dan kekal berdaya tahan sepanjang pandemik itu.

    Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Siri SME360 BIBD mengenai industri F&B yang akan diteruskan esok dari pukul 2:30 hingga 5:30 petang.

    Siri SME360 akan berjalan dari Januari hingga Mei depan yang akan mengetengahkan dua industri setiap bulan. Siri forum maya itu bermatlamat untuk mengumpulkan pemimpin pemikir dan pakar industri daripada 10 sektor perniagaan utama di Brunei dalam sesi penglibatan dengan pemilik-pemilik perniagaan dan pihak berkepentingan untuk membincangkan cabaran, amalan terbaik, perspektif dan peluang untuk kembali semula dengan lebih kuat.

    Program itu dianjurkan oleh BIBD bersama dengan DARe selaku rakan kongsi strategik serta Firelight Sdn Bhd dan Curious Mind.

    Ia juga disokong oleh 10 buah persatuan perniagaan utama Brunei dan pemain-pemain pasaran utama termasuk Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, Dewan Perniagaan Tiong Hua, Dewan Perniagaan India dan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam, LiveWIRE, BIMP-EAGA, Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), RBC, McDonald’s Brunei, Kumpulan Serikandi, GoMamam, Ghanim International Corporation (bruneihalalfoods), Jab Gym, Hua Ho dan Soon Lee.

    Siri SME360 BIBD yang diadakan pada 25 dan 26 Januari ini bakal meliputi industri runcit dan e-dagang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...