Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Graduan optimis usahakan perniagaan kuih tradisi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Pada kelazimannya, makanan tradisional seperti kuih-muih dan apa saja jenis masakan kampung biasanya diusahakan oleh generasi emas, namun sekarang sesetengah generasi muda kini mula berjinak-jinak untuk mempelajarinya dengan tujuan menyambung legasi agar tidak ditelan zaman malah menjadikannya sebagai perniagaan.

    Sebut sahaja kuih Kusoi atau Kaswi sudah semestinya ramai dalam kalangan masyarakat di Brunei dan kawasan Nusantara ini mengenalinya sebagai sejenis kuih tradisi yang memiliki rasa yang istimewa ditambah lagi dengan parutan isi kelapa pada bahagian luarannya.

    Proses pembuatan kuih Kusoi ini memerlukan masa yang panjang dan rumit, namun kerana sifat ingin tahu tidak mematahkan semangat Awang Mohamad Fathuddin bin Haji Rashid, 31, untuk mencubanya sehingga menjadi pengusaha kuih berkenaan sejak dua tahun lalu di bawah nama Syarikat Sri Kembar & Adik-beradik atau lebih dikenali dengan Dapur Sri Kembar.

    Sejak menamatkan pengajian pada 2020 dalam kursus Master in Teaching di Universiti Brunei Darussalam, beliau tidak membuang masa begitu saja telah mengambil keputusan untuk mencari rezeki dengan berniaga sambil mencari sebarang pekerjaan.

    “Saya memilih untuk menjual kuih Kusoi ini antara lain adalah untuk mendapatkan rezeki yang akan digunakan untuk belanja harian saya dan membantu kedua-dua ibu bapa saya.

    Awang Mohamad Fathuddin bersama produk jualannya ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.
    Kuih Kusoi yang baru siap dimasak sebelum disaluti dengan parutan kelapa.
    Dengan diberikan nama Kusoi Deen, produk jualan Awang Mohamad Fathuddin ini boleh diperoleh di kedai-kedai runcit di kawasan Kampung Rimba dan Kampung Tungku.
    Makanan tradisional seperti kuih-muih dan apa saja jenis masakan kampung seharusnya diwarisi oleh generasi muda agar tidak pupus begitu saja.

    “Di samping itu, saya juga menggunakan hasil pendapatan jualan tersebut untuk membeli keperluan kucing peliharaan saya seperti makanan dan barangan perubatan,” jelasnya.

    Beliau turut berkongsi kenapa memilih kuih Kusoi sebagai jualan, kerana kuih ini jarang dijual oleh sesetengah pengusaha disebabkan oleh kerumitan proses pembuatannya dan memilih makanan segera yang lebih mudah disediakan.

    Beliau juga mengakui telah banyak melakukan percubaan dan sering gagal semasa awal pembuatannya dahulu, namun dengan semangat dan kecekalan hati beliau mempelajari serta mendalami cara-cara pembuatan kuih Kusoi ini melalui Internet di samping bertanyakan kepada orang-orang tua yang lebih berpengalaman dalam pembuatannya.

    Setelah berhasil membuat kuih Kusoi dengan rasa yang cukup sempurna, beliau mula menjualnya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum mula menjualnya kepada orang ramai. Dengan nama Kusoi Deen, produk jualan beliau ini boleh diperoleh di kedai-kedai runcit di kawasan Kampung Rimba dan Kampung Tungku di samping menerima tempahan secara persendirian bagi majlis-majlis keramaian dan sebagainya.

    Setiap perniagaan pasti ada cabarannya, begitulah juga yang dihadapi sendiri oleh Awang Mohamad Fathuddin semasa menjalankan perniagaan kuih Kusoi ini yang menurut beliau sukar menarik pelanggannya terutama golongan muda.

    “Cabaran yang saya hadapi semasa menjalankan perniagaan kuih Kusoi ini ialah bagaimana cara untuk menarik perhatian pelanggan daripada pelbagai peringkat umur kerana kebanyakan pelanggan kuih ini terdiri daripada golongan warga emas dan hanya sesetengah generasi muda meminati dan mengenalinya.

    “Dalam masa yang sama, berikutan kebanyakan pelanggan golongan warga emas sebahagian daripada mereka kurang mahir menggunakan media sosial untuk melihat promosi-promosi yang dibuat mahupun melakukan pembayaran secara dalam talian,” jelasnya.

    Sebagai perancangan masa depan, Awang Mohamad Fathuddin menyasarkan untuk meluaskan kawasan penghantaran jualan beliau di samping mempelbagaikan jualan jenis kuih-muih tradisi yang lain.

    “Perancangan saya ingin meluaskan lagi kawasan penghantaran kuih-kuih jualan saya di kedai-kedai runcit lain dan menambahkan lagi pelbagai jenis kuih traditional lainya.

    “Saya berharap penggemar kuih-muih tradisional terutamanya Kusoi semakin banyak penggemarnya agar ia tidak dilupakan dan lapuk ditelan zaman,” tambahnya.

    Beliau turut menyarankan agar generasi muda untuk lebih menghargai dan mengambil sifat ingin tahu untuk mempelajari cara pembuatan makanan tradisional agar tidak pupus begitu saja dan sentiasa mudah diperoleh walau di mana jua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...