Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    BILIF terima anugerah 3G

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menerima anugerah Global Good Governance (3G) bagi kategori 3G Pembangunan Sumber-sumber Manusia pada acara tahunan Majlis Anugerah 3G ketujuh anjuran Penasi-hat Kewangan Antarabangsa Cambridge (IFA) dan Hawkamah, MENA yang berlangsung di Hotel Conrad, Dubai pada 18 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BILIF, di sini, majlis tersebut adalah bagi meraikan pencapaian dalam bidang urus tadbir, ketelusan dan tanggungjawab sosial serta memberi pengiktirafan kepada usaha kepimpinan individu, agensi kerajaan, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengamalkan prinsip urus tadbir yang efektif serta berinovasi dalam bidang-bidang berkenaan.

    Kenyataan menyatakan bahawa majlis berkenaan telah dihadiri oleh institusi-institusi dan individu-individu daripada sektor awam, sektor korporat, sektor sosial serta golongan dermawan dari serata dunia.

    Sementara itu, hadir bagi anugerah bagi BILIF ialah Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat di mana pada majlis itu, beliau menzahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah berprestij yang mengiktiraf sumbangan BILIF ke arah pembangunan modal insan yang seterusnya bertujuan untuk mewujudkan ahli-ahli profesional industri terutama dalam bidang kewangan Islam.

    Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) atas sokongan dan bimbingan yang telah diberikan.

    Hajah Sufinah semasa menerima anugerah sebagai wakil BILIF pada majlis tersebut yang berlangsung di Hotel Conrad, Dubai. – Gambar serahan BILIF

    Semasa acara berkenaan, Sidang Kemuncak 3G 2022 turut diadakan di mana sidang tersebut merupakan sebuah platform persidangan global daripada segi dialog, perbincangan dan penglibatan bertujuan untuk memahami dengan lebih lanjut isu-isu berkaitan urus tadbir, etika dan kelestarian.

    Semasa sidang kemuncak berkenaan, Hajah Sufinah telah mewakili BILIF dalam perbincangan panel bertajuk, Governance, Sustainable Development and Empowerment.

    Perbincangan panel berkenaan telah disertai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dubai Electricity and Water Authority (DEWA), Saeed Mohammed Al Tayer; Pengarah Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ICESCO), Raheel Qamar dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina, Emilio Benito dengan sesi dikendalikan oleh pakar urus tabir dan pengurusan risiko operasi, Faseeh Elahi.

    Sementara itu, BILIF merupakan sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di bawah BDCB.

    BILIF menawarkan program pembelajaran dan latihan berkualiti tinggi serta juga menganjurkan seminar dan acara bekerjasama khususnya dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan.

    Misi BILIF adalah untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang yang disebutkan melalui program-program yang immersif dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

    Bagi mereka ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BILIF, bolehlah melayari laman sesawang BILIF, www.bilif.com.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...