Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Gunung Sinsing, ketiga tertinggi di Malaysia

    SANDAKAN, 25 MEI – Jabatan Perhutanan Sabah secara rasminya telah mengukur ketinggian Gunung Sinsing di Tambunan dan mendapati ketinggian puncak gunung itu ialah 2,586 meter (m) dari aras laut sekali gus sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia.

    Jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pada ekspedisi baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok bersama wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan menggunakan peralatan penerima data sistem satelit navigasi sejagat yang lebih tepat iaitu Stonex S900A Sistem Satelit Navigasi Sejagat (GNSS) untuk mengesahkan ketinggian puncak gunung tersebut.

    “Data ketinggian dicerap melebihi tempoh empat jam pada 10 Mei 2023. Data cerapan kemudian diproses oleh juruukur berdaftar untuk menentusahkan ketinggian sebenar puncak Gunung Sinsing dari aras laut.

    “Dengan menggunakan kaedah itu, didapati ketinggian puncak Gunung Sinsing ialah 2,586m, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo,” menurut kenyataan itu.

    Menurut Jabatan Perhutanan Sabah, gunung yang kurang dikenali itu terletak dalam Hutan Simpan Nuluhin Trusmadi, di bawah pengurusan Pejabat Perhutanan Daerah Tambunan serta merupakan sebahagian daripada Unit Pengurusan Hutan 10 (FMU10) Projek Pengurusan Hutan Mampan.

    Gunung Sinsing telah menarik perhatian orang ramai sejak 2018 apabila di uar-uarkan menerusi media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo, mengatasi Gunung Tambuyukon (2,580m) di Substesen Monggis Taman Kinabalu di Ranau.

    Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan berkata, Jabatan Perhutanan akan meneruskan usaha untuk melindungi kawasan berkepentingan seperti Gunung Sinsing.

    Bersebelahan Gunung Sinsing ialah Gunung Trus Madi (2,642m), yang juga gunung kedua tertinggi di Malaysia serta diletakkan di bawah pengurusan FMU10 yang berkeluasan 88,401 hektar. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...