Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Tidak dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu transformasi dan pendidik golongan muda generasi baharu supaya mereka dapat menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

    Oleh itu, amat penting bagi seorang guru memiliki sahsiah yang teguh dan tinggi yang boleh dicontohi sebagai seorang guru berkualiti sesuai dengan tema Sambutan Hari Guru ke-32, iaitu ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’.

    Guru berkualiti merupakan guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai aspek dan bidang pengajaran serta pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan pelajar diajar.

    Ini didorong oleh ciri-ciri sikap yang berkualiti termasuk sentiasa berfikiran positif, terbuka, peka dan responsif dalam mengikuti trend serta evolusi pendidikan yang dinamik.

    Guru sebagai pemacu adalah penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan cepat serta berkesan untuk mencapai sasaran yang dihasratkan.

    Sementara itu, transformasi bererti perubahan terhadap sifat, sikap, fungsi dan tingkah laku, ke arah yang lebih baik. Pendidikan pula merupakan proses atau aktiviti yang dijalankan secara sistematik dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran untuk mengembangkan potensi diri pelajar.

    Dengan pendidikan, seseorang dapat meningkatkan kecerdasan, akhlak, keperibadian, kekuatan rohani dan keterampilan yang bermanfaat bagi dirinya dan masyarakat.

    Tema itu menghuraikan bahawa Negara Brunei Darussalam terus menumpukan ke arah merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan bagi mencapai matlamat-matlamat yang termaktub dalamnya, sektor pendidikan berperanan utama dalam menyumbangkan ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Dengan mengambil kira landskap dunia pekerjaan dan standard kehidupan yang kian berubah, sektor pendidikan yang sememangnya dinamik perlu melalui transformasi untuk terus relevan demi memastikan sistem pendidikan dapat menghasilkan sumber tenaga manusia yang dihasratkan negara.

    Tulang belakang kepada usaha berkenaan adalah guru yang berkualiti kerana mereka mempunyai impak langsung terhadap anak-anak didik mereka di sekolah. Oleh yang demikian, mereka akan memiliki keupayaan untuk memacu dan memastikan transformasi negara dapat direalisasikan dengan efisien dan efektif.

    Dalam keadaan itu, negara dapat bersandar kepada guru yang berkualiti untuk menterjemahkan dasar dan inisiatif utama pendidikan di bilik-bilik darjah serta dalam kegiatan-kegiatan sekolah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...