Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Hargai karya, bakat seni OKU

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pameran Seni untuk Semua sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2022 telah dirasmikan di Galeri 4, Hab Tenaga Dermaga Diraja, hari ini.

    Pameran itu merupakan wadah bagi mempamerkan hasil seni kreatif orang kelainan upaya (OKU) dan ia berlangsung sehingga 31 Disember ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Ia merupakan kolaborasi gabungan hasil kreatif daripada Pusat Bahagia dan persatuan-persatuan seperti Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SMARTER dan La Vida.

    Antara objektifnya adalah sebagai wadah bagi memberikan peluang dan hak kesaksamaan dalam persada seni bagi OKU.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyaksikan pameran yang diketengahkan pada Pameran Seni untuk Semua, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyaksikan salah satu hasil seni yang dipamerkan.
    Hajah Nor Ashikin semasa menyampaikan ucapannya.

    Selain itu, ia mewujudkan persekitaran yang merangsang golongan OKU untuk bergiat dalam seni, menggalakkan integrasi sosial OKU serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kelainan keupayaan dan meningkatkan penghargaan atas hasil karya seni dan bakat OKU.

    Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucapannya menjelaskan, pameran bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kelainan keupayaan dan meningkatkan penghargaan atas hasil dan bakat OKU.

    Ia juga telah direka bentuk untuk mencabar stigma dan persepsi masyarakat mengenai had keupayaan serta membuka peluang dalam menonjolkan bakat-bakat dan membina rantaian positif dalam penilaian produk OKU.

    Hajah Nor Ashikin berkata perkara berkenaan diharap akan menggalakkan kerjasama antara agensi-agensi kreatif di negara ini untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja yang mempunyai kebolehan berbeza sebagai artis kreatif.

    Para pengunjung pameran juga akan dapat menyelami pengalaman melihat seni dari mata hati OKU.

    Dengan merujuk kepada Smithsonian Guidelines for Accessible Exhibition Design, pameran mengambil kira faktor aksesibiliti dan mengutamakan pengalaman inklusif, sebagai contoh, menggantung lukisan di kedudukan yang bersesuaian bagi pengguna kerusi roda dan penyediaan tactile art.

    Majlis turut menyaksikan pelancaran logo Artisan Pusat Bahagia yang dihasilkan dengan kerjasama Dream Makers Enterprise. Logo berkenaan akan diguna pakai di setiap produk yang dihasilkan oleh Pusat Bahagia di keempat-empat daerah.

    Dengan adanya logo ber-kenaan diharap akan menaik taraf imej produk OKU yang berkualiti serta memberikan nilai tambah kepada produk-produk penghasilan Pusat Bahagia agar lebih kompetitif dalam pasaran.

    Menurut Hajah Nor Ashikin, penciptaan logo berkenaan adalah salah satu usaha di bawah projek pengiatan semula pusat tersebut. Majlis diteruskan dengan tetamu kehormat menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Urusan Dream Makers Enterprise, Awang Mohd Yamin bin Abdul Hamid, sebelum beredar melawat ke pameran.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy; Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat, Emily Fleckner, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Pendidikan Khas, Manpower Planning and Employment Council (MPEC), wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), wakil syarikat-syarikat swasta, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan di bawahnya.

    Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang artis OKU pendengaran, Awang Mohammad Zulaffendy bin Mohd Sufri, 33, diwakili oleh kakitangan dari Pusat Bahagia Tutong, yang berkata membuat binaan menggunakan kertas buku sudah menjadi satu hobi sejak dua tahun yang lalu.

    Menurutnya, setiap binaan mengambil masa lapan hingga 10 hari untuk disiapkan tergantung kepada benda yang hendak dibuat.

    Karya-karya seni yang dihasilkan, katanya, ada sebahagiannya terjual dan satu pernah dijadikan pesambah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pengurus La Vida, Dawn Lee selaku peserta pameran jemputan pula berkata, pada pameran ini mereka mempamerkan sebanyak 78 karya seni yang dipilih oleh kurator dari KKBS.

    “Sejak beberapa tahun yang lepas, kami telah melihat KKBS berusaha untuk mempromosikan karya dan bakat OKU, maka dengan itu kami ingin menyahut sokongan berkenaan dan sama-sama membantu dan memberikan peluang kepada OKU untuk mengetengahkan kemahiran mereka kepada orang ramai, bahawa OKU ini selain daripada mampu juga berkemahiran,” ujarnya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...