Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Indeks harga hartanah catat penurunan 5.1%

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku pertama (Q1) 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 5.1 peratus tahun-ke-tahun kepada 88.1 peratus berbanding Q1 2021 dan penurunan sebanyak 9.5 peratus berbanding suku keempat (Q4) 2021.

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperolehi dari bank-bank, sebanyak 124 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q1 2022.

    Ia menunjukkan penurunan dalam bilangan transaksi sebanyak 3.1 peratus berbanding dengan Q4 2021, dan peningkatan sebanyak 10.7 peratus berbanding satu tahun yang lalu.

    Dapatan RPPI ini diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Menurut BDCB, pada suku pertama 2022, kebanyakan daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (66.1%); diikuti oleh rumah teres (17.7%); rumah berkembar atau semi-detached (13.0%); dan pangsapuri (3.2%).

    Tidak ada pembelian tanah melalui pembiayaan bank telah direkodkan pada suku pertama 2022.

    Indeks itu diperolehi daripada bank-bank di negara ini dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah.

    Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada suku pertama 2022 pula adalah $246,500.

    Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding dengan suku pertama 2021, dan penurunan sebanyak 6.6 peratus berbanding dengan Q4 2021.

    Harga median bagi pembelian rumah berasingan adalah $260,000; bagi rumah berkembar adalah $260,000; bagi rumah teres adalah B$203,000; dan bagi pangsapuri adalah $216,500.

    Pengiraan RPPI menggunakan harga median dan bukan harga purata kerana harga median tidak terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa bagi jenis hartanah yang sama dalam suatu tempoh masa.

    Indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja.

    Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik itu bagi menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

    Bagi maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di laman web BDCB www.bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...