TEBING BARAT, 16 NOV – Di dua tempat bergolak di Tebing Barat, Israel telah memasang senjata robotik yang boleh menembak gas pemedih mata, grenad dan peluru bersalut span pada pembantah Palestin.
Senjata itu, dipasang di atas kem pelarian Palestin dan di kawasan bergolak di bandar Tebing Barat, menggunakan kecerdasan buatan untuk mengesan sasaran. Israel berkata teknologi itu bertujuan menyelamatkan nyawa, baik penduduk Palestin mahupun Israel.
Senjata baharu itu dipasang pada masa ketegangan memuncak di Tebing Barat, di mana pergolakan telah meningkat mendadak sejak 2006.
Menara kembar kecil, setiap satunya dilengkapi dengan kanta pengawasan dan laras senapang, telah dipasang baru-baru ini di atas menara pengawal dengan kamera menghadap kem pela-rian Al-Aroub di selatan Tebing Barat.
Apabila pembantah Palestin membanjiri jalan dan melontar batu serta bom api pada tentera Israel, senjata robotik itu akan menembak gas pemedih mata atau peluru bersalut span pada mereka, menurut saksi.
Aktivis Palestin, Issa Amro berkata penduduk Hebron bimbang senjata baharu itu mungkin disalah gunakan atau digodam tanpa sesiapa bertanggungjawab dalam situasi tersebut. Penduduk juga benci apa yang dikatakan mereka sebagai ujian senjata ke atas orang awam, tambahnya.
Senjata itu berfungsi dengan menggunakan alat kawalan jauh. Dengan menekan butang, tentera dalam menara pengawal boleh menembak pada sasaran terpilih. – AP
