Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Israel serang lapangan terbang di Aleppo

    DAMSYIK, 7 MAC – Pesawat pejuang Israel menyerang lapangan terbang Aleppo awal hari ini menyebabkan kerosakan besar yang menghalang penerbangan ke dan dari bandar kedua Syria yang dilanda peperangan dan gempa bumi baru-baru ini, menurut kementerian pertahanan.

    Lapangan terbang tersebut telah menjadi saluran utama untuk penerbangan bantuan sejak gempa bumi pada 6 Februari lalu yang melanda sebahagian besar wilayah tenggara Turkiye dan Syria yang bersebelahan, dan penerbangan itu juga dihentikan, kata pegawai kementerian pengangkutan.

    Kerosakan itu memaksa pihak berkuasa menutup lapangan terbang kepada semua penerbangan, tambah kementerian itu. Tiada berita mengenai sebarang kematian.

    Lebih daripada 80 penerbangan bantuan telah mendarat di Aleppo sejak sebulan terakhir dengan bekalan bantuan untuk kawasan yang dilanda gempa bumi, kata pegawai kementerian pengangkutan Suleiman Khalil kepada AFP.

    Bantuan telah dialihkan ke lapangan terbang Damsyik dan Latakia, kata kenyataan kementerian.

    Ini merupakan serangan Israel kedua ke kawasan yang dikawal oleh kerajaan sejak gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria dan mengorbankan lebih daripada 50,000 orang di kedua-dua negara.

    Israel telah menyerang lapangan terbang Aleppo beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang terakhir pada September lalu, menyebabkan lapangan terbang itu tidak berfungsi selama beberapa hari.

    Sejak peperangan saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel telah melakukan beratus-ratus serangan udara terhadap jiran mereka, terutamanya menyasarkan kedudukan tentera Syria dan sekutunya, Iran dan Hizbullah. – AFP

    Gambar fail pada 7 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo di Syria. Pesawat pejuang Israel telah menyasarkan serangan kepada lapangan terbang tersebut yang mengakibatkan terhentinya bekalan bantuan gempa bumi mendarat di sana. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...