Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pekan Tutong terajui model negara lestari

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Negara Brunei Darussalam mengorak hala tuju menjadi sebuah negara lestari yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim selaras dengan komitmen negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

    Dalam hubungan itu, Projek Lestari Pekan Tutong adalah konsep pembangunan yang pernah dicadangkan sebagai panduan ke arah pembangunan yang mapan, memberi kebaikan dari segi ekonomi, alam sekitar, sosial, kebudayaan dan pelancongan.

    Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan pada hari keempat permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menerangkan, antara inisiatif kemajuan itu adalah memperkenalkan kawasan hijau dan bersih di Pekan Tutong, mengurangkan kepadatan kenderaan dengan menyediakan ruang pejalan kaki dan basikal, memulihara warisan sejarah dan produk kebudayaan yang terdapat di Pekan Tutong serta penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui ke arah mesra alam sekitar dan strategi mengurangkan kesan rumah hijau.

    “Mekanisme ke arah melaksanakan konsep ini memerlukan beberapa komponen penting sebagai Indikator Projek Lestari dalam membantu penggubal dasar serta hala tuju dalam membuat perancangan dan tindakan dengan mewujudkan zon-zon pelaksanaan kawasan iaitu zon bersih, zon hijau dan zon selamat,” jelasnya.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Beliau menjelaskan sebagai permulaan, projek itu telah dilaksanakan bermula 2020 dengan inisiatif zon bersih melalui pendekatan seluruh negara dan pada 2022, Pekan Tutong telah dianugerahkan sebagai ASEAN Clean Tourist City Award.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menyatakan harapan supaya projek kemajuan itu dapat dijadikan sukat-sukat dan pemikiran ke arah memacu kemajuan Pekan Tutong yang ketika ini bergerak perlahan.

    Manakala itu, ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann dalam sesi perbahasan itu menyatakan belanjawan yang dibentangkan menyasarkan usaha ke arah membina ekonomi berasaskan pengetahuan.

    “Perkara ini boleh dilaksanakan dengan jayanya ke arah memberi perhatian berat terhadap usaha-usaha yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, kreativiti dan inovasi serta memberi fokus kepada bidang atau sektor yang mempunyai daya saing yang lebih kuat,” tekannya.

    Sementara itu, bagi peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P), beliau berharap mereka akan mengambil peluang yang diberikan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka supaya sentiasa relevan dan boleh dipasarkan.

    Ke arah mendukung pemulihan negara yang inklusif dan berdaya tahan, Yang Berhormat Awang Mohammad menyatakan tumpuan ke arah menaik taraf kawasan-kawasan komersial yang sedia ada adalah penting mengikut perubahan masa.

    “Sehubungan dengan ini, kaola mengharapkan agar pelan transformasi dan kemajuan bagi kawasan zon komersial di Pekan Belait dan Pekan Seria diwujudkan bagi memastikan perniagaan di kawasan-kawasan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha-pengusaha PMKS agar sentiasa relevan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan masa kini,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...