Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Isu pemanasan suhu global diketengahkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Aktiviti manusia menyebabkan suhu global meningkat kira-kira 1 darjah Celsius dan mengikut perkembangan semasa, kemungkinan besar pemanasan global akan mencapai sehingga 2 darjah Celsius di antara tahun 2030 dan 2051.

    Hal ini sekali gus memberikan kebimbangan dan dibangkitkan oleh laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (2018).

    Perkara tersebut antara yang dibincangkan semasa sesi seminar hari kedua Minggu Tindakan Iklim bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2022 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan, bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi petang ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria.

    Dua seminar tematik telah disusun untuk hari kedua pada sesi petang yang memfokuskan kepada ‘Clean Energy’ dan ‘Nature-Based Solutions’.

    Ir Haji Amer Hishamuddin hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi seminar yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Sesi seminar ketiga yang bertajuk ‘Clean Energy’ yang diadakan pada sesi petang, menampilkan Penolong Profesor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Rosnah Abdullah, sebagai moderator bagi perbincangan tersebut.

    Turut hadir untuk memberikan ceramah bagi sesi perbincangan tersebut adalah Ketua Sustainable Energy Division, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya; Ketua Energy Transition, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Shirley Sikun; Pengarah Centre for Innovative Engineering, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr Nawaf Hazim Saeid; dan Ketua Strategy and Portfolio, Brunei LNG Sdn Bhd, Awang Mohd Fadhullah Omarali.

    Seminar tersebut turut mengongsikan bahawa pelepasan karbon dioksida secara global iaitu hasil daripada pembakaran bahan api fosil telah menyumbang dengan ketara ke arah pemanasan ini.

    Hasilnya, Majlis Peralihan Tenaga (ETC), yang diperkenalkan semasa acara COP26, bertujuan untuk menjadikan tenaga bersih dan mampan sebagai pilihan yang paling berpatutan dan boleh dipercayai, bagi mempercepatkan peralihan tenaga bersih yang beralih daripada arang batu dan bahan api fosil lain untuk negara-negara yang bercita-cita tinggi.

    Selain itu seminar juga membincangkan tentang usaha Brunei baru-baru ini untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan langkah-langkah yang perlu diambil daripada komuniti dan agensi kerajaan yang bergerak ke hadapan.

    Sesi seminar yang terakhir pada hari kedua Minggu Tindakan Iklim yang menampilkan Profesor Madya, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Johan Willem Frederick Slik, sebagai moderator bagi perbincangan mengenai ‘Nature-Based Solutions’.

    Turut hadir untuk memberikan ceramah bagi sesi perbincangan tersebut adalah Principal Environmental Consultant, DHI Water & Environment Singapore, Dr Siti Maryam; Pengarah Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim, dan Penolong Profesor, Faculty of Science, UBD, Dr Daniele Cicuzza.

    Sesi seminar tersebut telah menekankan bagaimana Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) mentakrifkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi sebagai tindakan bagi melindungi, mengurus dan memulihkan ekosistem semula jadi secara mampan dan menangani cabaran masyarakat secara berkesan dan adaptif, memberi manfaat kepada kesejahteraan manusia dan biodiversiti.

    Untuk menjejaki matlamat Perjanjian Paris iaitu 1.5 darjah Celsius, penyelesaian berasaskan alam menyediakan mekanisme berasaskan darat terbaik dari segi sinki dan takungan karbon semula jadi, dan juga mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap ekosistem pantai dan marin.

    Sesi tersebut merangkumi pilihan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di Brunei dan bagaimana ia boleh menjadi penyumbang utama dalam mengurangkan kesan perubahan iklim ke atas Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...