Friday, May 10, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Jejaki paus kelasa dengan ‘cap jari’ unik

    ANTARTIKA – Di Antartika, seorang saintis menunggu dengan sabar untuk dua ekor ikan paus kelasa yang sedang bermain-main mengeluarkan ekornya dari perairan berais supaya dia boleh mengambil fotografi ‘cap jari’ mengenai corak dan warna unik yang membolehkan para penyelidik mengenal pasti setiap spesies paus tersebut.

    Andrea Bonilla, seorang saintis Colombia di Cornell University, Amerika Syarikat, telah bekerjasama dengan sepasukan penyelidik sejak 2014 untuk mengkatalogkan ikan paus kelasa daripada analisis visual ekor – atau fluk.

    “Apa yang kami lakukan ialah menjejaki sejarah setiap paus,” kata Bonilla kepada AFP di atas kapal ARC Simon Bolivar semasa ekspedisi saintifik oleh tentera laut Colombia.

    Selama bertahun-tahun, pasukan itu telah mengenal pasti 70 ekor ikan paus, dan berharap dapat melihat sebahagian daripadanya sekali lagi untuk merekodkan sebarang perubahan fizikal yang boleh memberi petunjuk kepada corak penghijrahan, saiz populasi, kesihatan dan kematangan seksual.

    Pada bahagian ekor, ‘warna dan corak yang ada pada setiap ikan paus adalah unik, ia seperti cap jari, jadi apa yang kami lakukan ialah melihat tanda berbeza yang ada, parut yang berbeza’ untuk mengenal pasti setiap paus, kata Bonilla.

    Ekor ikan paus kelasa dilihat di Selat Gerlache. – AFP
    Saintis Colombia, Diego Mujica (kiri) dari Yayasan Malpelo mengambil gambar ikan paus kelasa di Selat Gerlache, yang memisahkan Kepulauan Palmer dari Semenanjung Antartika, di Antartika pada 19 Januari lalu. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Pemandangan ekor ikan paus kelasa di Selat Gerlache pada 19 Januari. – AFP

    Populasi global paus kelasa telah melonjak semula selepas dihapuskan oleh penangkapan ikan paus komersial, namun haiwan gergasi lautan itu kekal terancam daripada
    serangan kapal, penangkapan ikan haram, pencemaran dan bunyi dalam air.

    Hari ini, terdapat kira-kira 84,000 spesimen dewasa di dunia, menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

    Kepentingan pengenalpastian ekor telah ditonjolkan dalam kajian yang diterbitkan bulan lalu dalam jurnal Royal Society Open Science yang menunjukkan bilangan ikan paus kelasa di Pasifik Utara telah merosot 20 peratus dalam tempoh kurang daripada satu dekad.

    Menjejaki kira-kira 33,000 ikan paus melalui gambar fluk, saintis-saintis mendapati penurunan mendadak yang diramalkan mereka berpunca daripada kelaparan kerana gelombang haba marin.

    Pengenalpastian foto adalah perkara biasa dalam kajian mamalia marin, bagaimanapun penggunaan pengenalpastian fluk paling banyak digunakan dengan paus kelasa kerana tanda-tanda uniknya, dan tabiat haiwan berkenaan menaikkan ekor keluar dari air semasa menyelam.

    Populasi paus kelasa yang berbeza tinggal di seluruh lautan dunia, membuat migrasi besar-besaran dari tempat pembiakan yang lebih panas airnya ke tempat makan di perairan kutub.

    “Paus-paus berkenaan mengambil kesempatan daripada biojisim besar makanan yang ada di sini (di Antartika) dan selama beberapa bulan hanya mengumpul tenaga,” kata Bonilla.

    Menggunakan gambar-gambar, dia melukis semula butiran ekor mamalia laut yang besar itu, yang boleh mencapai sehingga 18 meter panjang dan berat kira-kira 40 tan.

    Di komputer, dia mengezum masuk pada butiran fluk, yang boleh mendedahkan serangan-serangan daripada haiwan lain, ‘sama ada terdapat beberapa jenis penyakit kulit’ atau maklumat tentang diet.

    Inventori berkenaan membolehkan saintis-saintis mengesan pergerakan ikan paus tertentu, yang penting untuk inisiatif pemuliharaan.

    “Jika seekor ikan paus sentiasa datang ke kawasan yang sama untuk membiak, adalah penting untuk melindungi kawasan tersebut. Jika ia tidak wujud atau terganggu, ikan paus itu tidak akan mempunyai tempat untuk pergi,” Bonilla mengingatkan dalam jurnal tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...