Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    JENDELA: Penduduk luar bandar Mukah teruja dapat buat panggilan video

    MUKAH, 18 MAC – Setelah sekian lama dibelenggu dengan liputan internet lembab, penduduk sekitar Mukah terutama di kawasan luar bandar, kini sudah dapat berhubung dengan keluarga dan sanak-saudara dengan panggilan video.

    Kenikmatan itu adalah hasil pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) di Sarawak, yang melibatkan naik taraf menara komunikasi sedia ada ke teknologi 4G bagi menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan sebagai persediaan peralihan kepada 5G.

    Selain merapatkan jurang komunikasi antara bandar dan kawasan pedalaman, inisiatif itu juga adalah seiring dengan usaha kerajaan Sarawak, yang memacu dan memantapkan lagi penggunaan ekonomi digital untuk rakyat negeri berkenaan.

    Tuai rumah panjang di Jalan Balingian-Matadeng Kumbong Anak Nyagang, 65, berkata perkhidmatan yang dinaik taraf itu, telah dapat mengubati rindunya kepada anak dan cucu yang tinggal di bandar lain seperti Bintulu dan Miri, demi mencari rezeki dan jarang dapat pulang kerana kos pengangkutan yang mahal.

    “Sebelum ini perkhidmatan (telekomunikasi) di kawasan sekitar amat menguji kesabaran penduduk sebab hanya dapat membuat panggilan telefon, dan kadang-kadang pun kurang memuaskan sebab putus-putus,” katanya kepada Bernama.

    Namun setelah menara komunikasi yang dahulunya menawarkan teknologi 3G dan kini ditambah baik kepada 4G, kawasan sekitar yang didiami kira-kira 1,000 penduduk kini dapat menikmati komunikasi dalam talian dan melayari internet, untuk mendapatkan berita terkini dan sahih serta hiburan menerusi aplikasi media sosial.

    “Syukur bila ada perkhidmatan 4G. Tidak macam dulu hanya dapat buat panggilan telefon dan itupun kadang-kadang kena keluar ke jalan utama untuk mendapatkan isyarat,” katanya. – Bernama

    Penghuni rumah panjang Sungai Bedengan Ulu, Mukah kini dapat melayari perkhidmatan internet dengan kelajuan 4G. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...