Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jepun, Brunei setuju teroka peralihan tenaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Kementerian Perdagangan, Ekonomi dan Industri (METI) Jepun dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Negara Brunei Darussalam menekankan hubungan rapat dan nilai bersama serta komitmen mereka terhadap tindakan bercita-cita tinggi untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris.

    Selain berazam untuk bekerjasama dalam usaha mencapai masa hadapan pelepasan sifar bersih, kedua-duanya mengiktiraf keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim sebagai cabaran global yang sama dan semua negara perlu memainkan peranan mereka dalam tindak balas global.

    Penekanan itu dibuat dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh METI dan JPM bagi Kerjasama Peralihan Tenaga ke arah neutraliti karbon yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

    Kedua-dua belah pihak mengakui keperluan untuk meneroka pelbagai pilihan dan memanfaatkan semua bahan api dan teknologi untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil serta selamat bagi mencapai kedua-dua matlamat pertubuhan ekonomi dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

    Mereka juga berkongsi pandangan bahawa tiada satu laluan untuk mencapai neutraliti karbon tetapi terdapat laluan unik serta pelbagai bagi setiap negara.

    Kedua-dua pihak menekankan kepentingan hubungan tenaga sekian lama antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta bersetuju untuk meneroka peluang-peluang yang mungkin bagi usaha peralihan tenaga dan kerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

    Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga mengenal pasti kepentingan mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta inovasi memainkan sebuah peranan yang amat diperlukan dalam hala tuju ke arah neutraliti karbon.

    Pada masa yang sama, mengurangkan kos tenaga boleh diperbaharui, sistem simpanan tenaga, pemasangan teknologi canggih dan memperkenalkan sistem sokongan bagi teknologi-teknologi penyahkarbonan seperti sistem simpanan tenaga iaitu bateri atau pertukaran kepada tenaga alternatif seperti hidrogen, tenaga alternatif iaitu hidrogen, combine cycle gas turbine (CCGT) dan CCS/CCUS adalah amat penting.

    METI mengesahkan komitmennya untuk menyokong secara komprehensif peralihan tenaga menerusi Inisiatif Peralihan Tenaga Asia (AETI).

    Dalam hubungan itu, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan di peringkat kerja untuk merangka sebuah peta jalan bagi peralihan tenaga di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) dan Institut Tenaga, Ekonomi, Jepun (IEEJ).

    Perkembangannya akan dilaporkan kepada menteri kedua-dua belah pihak apabila bersesuaian dan METI akan menyedia sokongan yang meluas bagi merealisasikan peta jalan berkenaan termasuk memperkenalkan dan mengedarkan teknologi penyahkarbonan serta pembangunan sumber manusia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...