Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jersi Piala Dunia Maradona dilelong AS$9.3 juta

    NEW YORK, 5 MEI – Jersi yang dipakai legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona semasa menjaringkan dua gol menentang England dalam Piala Dunia 1986, termasuk gol yang dilabel ‘tangan dewa’, telah dilelong dengan harga AS$9.3 juta, satu rekod untuk barangan cenderahati sukan, kata Sotheby’s kelmarin.

    Tujuh pembida bersaing untuk jersi itu dalam lelongan yang bermula 20 April lalu dan berakhir pagi kelmarin, kata Sotheby’s, tanpa mendedahkan nama pembeli.

    Jersi itu telah dimiliki oleh pemain tengah lawan Steve Hodge, yang menukar jersinya dengan Maradona selepas England tewas 2-1.

    Hodge, yang autobiografinya bertajuk ‘Lelaki dengan Jersi Maradona’, sejak 20 tahun lalu telah meminjamkan jersi itu untuk dipamerkan kepada orang ramai di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester.

    Anak perempuan Maradona meragui penjualan tersebut awal bulan ini apabila dia mendakwa bahawa jersi yang dilelong adalah jersi yang dipakai bapanya pada separuh masa pertama tanpa jaringan, bukan yang kedua apabila dia menjaringkan dua golnya.

    Namun Sotheby’s menegaskan mereka mempunyai jersi yang betul.

    Rekod sebelumnya untuk jersi yang dipakai dalam permainan dari mana-mana sukan adalah AS$5.6 juta, yang ditetapkan pada 2019 untuk jersi yang dipakai Babe Ruth ketika mewakili New York Yankees dalam besbol. – AFP

    Jersi yang dipakai legenda bola sepak Argentina Diego Maradona telah dilelong dengan harga AS$9.3 juta. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...