Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    JKDM tahan wanita seludup kokain RM1.34 Juta

    NILAI, 14 NOV – Cubaan seorang wanita menyeludup masuk kokain hitam seberat 6.7 kilogram (kg) bernilai RM1.34 juta gagal, apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6 November lepas.

    Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad berkata keldai dadah berusia 39 tahun itu ditahan pada 4 petang dan hasil pemeriksaan menemukan dua kepingan getah berwarna hitam tersembunyi dalam dua bagasi.

    “Modus operandi sindiket adalah mencampurkan kokain biasa dengan bahan kimia lain dengan menggunakan teknik suntikan acuan,” katanya kepada pemberita di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

    Katanya teknik itu menghasilkan kepingan getah hitam untuk dijadikan pelapik dalam bagasi manakala campuran bahan kimia itu bagi meneutralkan bau kokain supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan anjing pengesan.

    Sazali berkata modus operandi itu pertama kali dikesan pihaknya dan suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai juga pertama kali masuk ke negara ini.

    Beliau berkata suspek menerima upah kira-kira AS$500 (RM2,293) bagi membawa masuk dadah tersebut.

    Dalam kes berasingan Sazali berkata seorang jurusolek warga tempatan, 26, ditahan menyeludup rokok elektronik (vape) dan cecair vape mengandungi ganja menerusi perkhidmatan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 November lepas.

    Beliau berkata bungkusan itu diikrar sebagai barangan solekan, namun berisi 50 vape, 50 cecair vape yang mengandungi minyak ganja, serta ganja seberat 850 gram bernilai RM15,000.

    Selain itu, Sazali berkata JKDM turut menyita sebuah kotak mengandungi 400 mangkuk besi yang telah diubah suai untuk menyembunyikan peket lut sinar mengandungi methamphetamine seberat 6.3kg bernilai RM230,000 di kargo KLIA pada 8 November. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...