Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Jualan runcit suku kedua menurun 4.1%

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Pada suku tahun kedua (Q2) 2022, prestasi jualan runcit Negara Brunei Darussalam menunjukkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 4.1 peratus dengan anggaran nilai menurun daripada $488.2 juta kepada $468.3 juta.

    Dari segi volum jualan, ia juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 6.8 peratus tahun-ke-tahun, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi semasa mengongsikan mengenai Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) Suku Tahun Kedua 2022 dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    JPES seterusnya menjelaskan, penurunan jualan runcit didorong terutamanya oleh penurunan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 12.6 peratus, diikuti dengan penurunan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 9.4 peratus; jualan di stesen minyak 8.1 peratus; dan jualan di gedung serbaneka 6.8 peratus.

    Penurunan berkenaan adalah berikutan kekurangan permintaan domestik selaras dengan pengurangan sekatan pergerakan rentas sempadan dan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian yang masih dilaksanakan sehingga pertengahan Mei 2022.

    Di samping itu, volum jualan bagi aktiviti-aktiviti runcit juga mencatatkan penurunan manakala bagi perkhidmatan makanan dan minuman pula, ia telah meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding Q2 2021 dengan anggaran hasil jualan meningkat daripada $98.5 juta kepada $98.7 juta.

    Carta jualan runcit Negara Brunei Darussalam pada suku tahun kedua yang dikeluarkan oleh JPES.

    Manakala itu, dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 1.1 peratus tahun-ke-tahun.

    Peningkatan hasil jualan makanan dan minuman terutamanya disebabkan hasil jualan bagi aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus dan hasil jualan restoran 0.8 peratus.

    Ini berikutan ketiadaan had kapasiti bermula awal Jun 2022 yang mana berbanding suku tahun pertama (Q1) 2022, jualan runcit pada Q2 2022 telah meningkat sebanyak 4 peratus disebabkan peningkatan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 29.9 peratus; jualan di stesen minyak 19.5 peratus; jualan peralatan perabot dan rumah 14.4 peratus; dan jualan di gedung serbaneka 7.2 peratus.

    Sementara itu, bagi perkhidmatan makanan dan minuman pula, ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus pada Q2 2022 berbanding Q1 2022 terutamanya disebabkan peningkatan hasil jualan bagi aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 19.4 peratus; aktiviti penyajian minuman 14.7 peratus; restoran 7.1 peratus; dan kedai makanan segera 4.1 peratus.

    Berbanding dengan Q1 2022, peningkatan pada aktiviti jualan runcit dan perkhidmatan makanan dan minuman adalah berikutan kenaikan permintaan domestik selaras dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan seperti peningkatan kapasiti bagi kemasukan pelanggan ke premis-premis peniagaan iaitu daripada 75 peratus kepada kapasiti penuh dengan tamatnya Fasa Awal Endemik COVID.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...