NAIROBI, 12 APRIL – Jutaan penduduk Somalia berisiko berdepan kebuluran, dengan golongan kanak-kanak adalah yang paling terdedah disebabkan oleh kemarau buruk di negara itu, agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini.
“Somalia berdepan masalah kebuluran ketika musim kemarau, melonjakkan harga makanan dan kurang pembiayaan menjadikan hampir 40 peratus penduduk Somalia di ambang kebuluran,” menurut agensi melalui kenyataan.
Sebahagian besar kawasan di Somalia dilanda kemarau yang turut berlaku di negara-negara di rantau itu termasuk Etiopia dan Kenya, tetapi agensi PPB memberi amaran kekurangan pembiayaan untuk menangani krisis ini dan mengelak daripada berulangnya krisis kebuluran pada 2011.
“Kami benar-benar mula memikirkan untuk mengambil makanan daripada mereka yang lapar dan diberikan kepada mereka yang kebuluran,” kata wakil Program Makanan Sedunia (WFP) PBB Somalia, El-Khidir Daloum dalam kenyataan, menyifatkan negara itu sebagai ‘di ambang bencana kemanusiaan’.
Seramai enam juta penduduk Somalia atau 40 peratus daripada populasi kini berdepan tahap ketidakselamatan makanan yang melampau, menurut laporan baharu oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu, peningkatan hampir dua kali ganda sejak awal tahun ini, menurut agensi. – AFP
