Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Kanak-kanak tidak divaksin berisiko hidap komplikasi serius

    KUALA LUMPUR, 21 FEB – Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak divaksin dan dijangkiti COVID-19 berisiko menghidap komplikasi serius khususnya Sindrom Keradangan Multisistem Pada Kanak-Kanak (MIS-C) melibatkan pelbagai organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak. 

    Bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada kesan buruk akibat wabak sekali gus memutuskan rantaian penularan COVID-19, ibu bapa disaran memastikan anak-anak mereka segera mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

    Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi Hospital Selayang Dr S. Selva Kumar berkata kebimbangan pakar pediatrik ketika ini ialah ramai dalam kalangan golongan itu telah dijangkiti COVID-19 dan terdedah dengan risiko MIS-C.

    “Kami (pihak hospital) juga gerun sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah MIS-C. Misalnya, tahun lepas, seorang pesakit kanak-kanak mengalami MIS-C, keadaannya serius dan membimbangkan yang memerlukan rawatan intensif (alat pernafasan dan dialisis) sehingga pulih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dr Selva Kumar yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Selayang berkata 
    ibu bapa yang mempunyai anak dengan penyakit kronik disaran supaya segera mendaftarkan anak mereka untuk vaksinasi COVID-19.

    Senada dengannya, Pakar Perunding Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff pula berkata MIS-C berpotensi menjadi kesan jangkitan COVID-19 berpanjangan pada tubuh badan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19. 

    Beliau berkata dengan suntikan vaksin COVID-19, ia mampu menghasilkan imuniti dalam tubuh badan  kanak-kanak dan memberikan perlindungan daripada kesan wabak tersebut. – Bernama

    Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang hadir pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) lima hingga 12 tahun di Pusat Pemberian Vaksin IDCC Seksyen 15, Shah Alam semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...