Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Keldai eksport terbaharu Afrika Selatan ke China?

    MAGALIESBURG, AFRIKA SELATAN – Permintaan China yang tinggi terhadap ubat tradisional telah menyebabkan pemburu haram memburu haiwan Afrika daripada badak sumbu hingga tenggiling. Kini keldai menjadi haiwan terancam seterusnya.

    Sebelum ini hanya diberikan untuk maharaja-maharaja, gelatin yang dipanggil ejiao yang diperbuat daripada kulit keldai, kini menjadi benda yang dicari-cari oleh golongan kelas pertengahan di China.

    Ejiao dikatakan mempunyai khasiat kesihatan yang serupa dengan produk yang diperoleh daripada tanduk badak, yang berfungsi sebagai penipisan darah dan kemudian bertindak sebagai afrodisia.

    Seperti di negara-negara dari Burkina Faso hingga ke Kenya, Afrika Selatan kini menyaksikan populasi keldainya menjunam sekali gus mengancam perniagaan lain yang menghasilkan sabun dan krim daripada susu keldai.

    “Di Afrika Selatan, kami telah melihat penurunan drastik populasi keldai akibat penyembelihan haram untuk membekalkan perdagangan kulit China,” kata pengasas bersama Donkey Dairy, Jesse Christelis.

    Pengurus ladang Donkey Fairy Farm, Martyn van Adrichem, 21, bersama keldai yang diberi nama Elsa berusia 8 tahun di Ladang Tenusu Keldai di Magaliesburg. – AFP
    Pemilik Donkey Dairy Farm di Magaliesburg, Jesse Christelis, 27, bermain dengan beberapa ekor keldainya. – AFP
    Seorang pekerja ladang menyusun jerami di Ladang Tenusu Keldai di Magaliesburg. – AFP
    Gambar menunjukkan sekumpulan keldai sedang makan dari palungan di Ladang Tenusu Keldai. – AFP

    Kajian terbaharu oleh penyelidik dari Universiti Afrika Selatan menunjukkan bahawa populasi keldai menyusut daripada 210,000 ekor pada 1996 kepada kira-kira 146,000 ekor pada 2019.

    Bekalan yang menyusut itu telah menyebabkan harga melambung tinggi. Menurut Christelis, seekor keldai sebelumnya berharga kira-kira AS$30 semasa lelongan lima tahun lalu. Kini haiwan tersebut berharga kira-kira AS$125 bagi setiap ekor.

    Nilai tersebut masih merupakan tawaran relatif di China di mana gelatin yang diperbuat daripada kulit keldai dijual pada harga AS$473 pada 2018 kini dijual pada harga AS$1,160.
    Produk ejiao yang dihasilkan daripada haiwan tersebut boleh dijual sehingga AS$360 sekilogram.

    Sementara itu, Afrika Selatan secara sah mengeksport kira-kira 10,500 kulit keldai ke China setiap tahun, tetapi kuantiti sebenar dipercayai lebih tinggi kerana penyeludup turut memperdagangankan haiwan tersebut.

    “Tahun ini, kami telah berjaya menyekat dua muatan keldai yang dirancang dihantar ke Lesotho,” kata wakil dari Majlis Kebangsaan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan, Grace De Lange.

    Pencuri keldai

    “Di ladang kami, tumpuan utama kami ialah untuk mencari keldai yang kurang diberikan layanan sebaiknya dan kami akan membelinya,” dia memberitah AFP.

    “Kami sering menghadiri acara lelongan yang diadakan sama ada dalam talian atau lelongan fizikal untuk mengatasi bidaan pembeli-pembeli yang membekalkan perdagangan dengan kulit keldai.”

    Pada masa sama, kecurian keldai juga berlaku ke atas petani kecil yang memerlukan haiwan itu untuk mengangkut hasil mereka.

    “Unit kecurian stok perlu lebih proaktif,” kata seorang pemeriksa di Unit Penjagaan Kuda Highveld, Ashley Ness di mana unit tersebut ialah sebuah agensi kebajikan kuda yang terletak di pinggir Johannesburg.

    “Daripada mengambil tindakan mengenai puncanya, mereka perlu mengambil petunjuk daripada penduduk yang didekati oleh agent yang diragui,” katanya.

    Manakala itu, pegawai tertinggi pertanian di wilayah Barat Laut, Manketsi Tlhape, juga berkata bahawa mereka kini sedang ‘menyiasat semua insiden yang dilaporkan’.

    Walau bagaimanapun, penternak keldai seperti Christelis mempunyai pilihan yang terhad untuk melindungi ternakan keldainya yang banyak daripada disambar pencuri.

    “Kami telah memasang pagar elektrik, penggera dan keldai kami juga telah dimasukkan mikro pengesan jika ia dicuri,” katanya.

    Tenusu Keldai

    Terdapat sedikit maklumat mengenai ukuran pasaran ejiao, tetapi kumpulan kebajikan haiwan yang berpangkalan di Britain, Donkey Sanctuary menganggarkan bahawa pada 2019 China memerlukan sebanyak lima juta kulit haiwan untuk dibekalkan kepada perdagangan.

    Dalam pada itu, pasaran produk menggunakan susu keldai masih di peringkat awal.

    Saiz pasaran susu keldai global dijangka mencecah hanya AS$16 juta menjelang 2026.

    Afrika Selatan mempunyai dua produk tenusu keldai, tetapi mereka mungkin tidak berdaya untuk memajukan perusahaan itu jika harga haiwan itu terus meningkat.

    Kenya di sisi lain pula telah mengharamkan penyembelihan keldai pada 2020, selepas populasi keldai di sana menjunam akibat perdagangan kulit haiwan tersebut.

    Susu keldai dipercayai mengandungi sifat antioksidan, antimikrob dan antidiabetik.

    “Saya yakin perdagangan kulit keldai sudah pasti menjadi ancaman kepada kilang tenusu keldai di Afrika Selatan dan di seluruh Afrika,” kata Christelis, yang memiliki 116 ekor keldai di ladangnya.

    “Permintaan yang meningkat untuk susu keldai adalah terutamanya daripada orang yang menghidap ekzema dan psoriasis,” katanya.

    “Melihat populasi keldai semakin berkurangan, kita tidak tahu sama ada permintaan terhadap susu keldai akan dapat dipenuhi,” tambahnya. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...