Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kerana bayaran kereta tertunggak, lelaki cuba curi wang bank

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Mahkamah Perantaraan telah menetapkan 1 September ini bagi perbicaraan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun selepas dia mengaku bersalah kelmarin kerana menceroboh masuk ke sebuah bank di Mentiri dengan niat untuk mencuri wang.

    Abdul Harizzul Haziq bin Haji Darwin diperintah untuk ditahan reman sementara menunggu hukuman, manakala polis memburu rakan subahatnya yang masih bebas.

    Fakta kes Pendakwa Sabrina binti Haji Mahmud menyatakan selepas tengah malam pada 4 Julai, defendan pergi ke bank untuk meninjau kawasan berkenaan dengan rancangan untuk mencuri.

    Pada 6 Julai, jam 2 pagi, defendan kembali semula ke bank tersebut untuk melaksanakan rancangannya, tetapi kali ini, bersama rakan sejenayah, dengan menaiki kereta defendan.

    Semasa berada di bank tersebut, defendan memasuki kawasan mesin membawa bersama engkol tayar sementara rakan subahatnya mengawasi di pintu masuk bank.

    Defendan pergi ke mesin paling kiri dan menggunakan engkol tayar untuk mengumpil bahagian kiri pintu luar mesin.

    Setelah melihat ia terbuka sedikit, defendan kemudian menggunakan tali dengan mengikat hujung tali yang satu lagi pada keretanya.

    Tidak berjaya membukanya kerana tali itu terputus, defendan menggunakan pemutar skru dan berhasil membuka penutup mesin itu.

    Namun, penggera berbunyi dan defendan mengemaskan peralatannya dan berlari kembali ke dalam kereta. Defendan dan rakan sejenayahnya kemudian memandu ke belakang bangunan komersial untuk bersembunyi.

    Kira-kira setengah jam kemudian, penggera tidak lagi berbunyi, defendan dan rakan sejenayahnya kembali semula ke bank tersebut.

    Kali ini, defendan menggunakan pemutar skrunya dan cuba membuka mesin itu semula.

    Sekali lagi, penggera berbunyi dan defendan dan rakan subahatnya melarikan diri, meninggalkan bank dengan tangan kosong.

    Pagi itu, seorang pekerja di AEGIS Maintenance menerima mesej dari Bilik Kawalan AEGIS memaklumkan bank itu memerlukan kerja penyelenggaraan.

    Sebaik tiba di bank itu, pekerja AEGIS mendapati penutup mesin itu terbuka dan terus memfailkan aduan ke Bilik Kawalan AEGIS dan menutupnya daripada kegunaan orang awam.

    Polis yang tiba tidak lama kemudian di lokasi kejadian telah menjalankan siasatan dan membawa kepada penahanan defendan. Defendan turut mendedahkan, dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana untuk membayar bayaran tertunggak bagi keretanya.

    Sementara itu, anggaran kos kerosakan termasuk pembaikan mesin pelbagai fungsi itu ialah $3,385.

    Hakim Mahkamah Perantaraan Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni sedang mempertimbangkan hukuman yang setimpal buat masa ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...