Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Kerjaya pembuatan tambak kubur jadi pilihan Muhd Faiz

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Pembuatan tambak kubur sering dikaitkan dengan pekerjaan orang-orang tua kitani, namun seorang belia ternyata mencari kelainan apabila menjadikannya sebagai sumber pencariannya.

    Lepasan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Awang Muhd Faiz Hafizuddin bin Haji Sohaili memutuskan mengikuti jejak langkah ayah beliau dengan berkecimpung dalam perusahaan pembuatan tambak kubur sejak tahun lalu.

    Beliau tidak segan silu mengikut ayahnya yang membuat tambak kubur semenjak tahun 2004 lagi secara kecil-kecilan.

    Ketika dihubungi Media Permata, beliau mengongsikan pembuatan tambak kubur tersebut bermula apabila beliau terbuka hati mengikut ayahnya daripada awal pembuatan tambak kubur sehingga siap, dihantar dan ditempatkan di tanah perkuburan sesuai tempahan pelanggan.

    Menurutnya, upah yang diperolehi mencukupi untuk beliau berdikari dan memotivasikan serta menaruh keyakinan kepada dirinya untuk terus menjadikan pekerjaan pembuatan tambak kubur sebagai kerjaya tetap.

    Awang Muhd Faiz Hafizuddin merupakan seorang belia lepasan PKBN yang menceburi bidang pembuatan tambak kubur mengikuti jejak langkah bapanya.

    Pengalaman dalam PKBN telah banyak memberikan pengajaran yang berguna untuk menjadikan dirinya yakin pada diri sendiri, berusaha menjadi seorang belia yang juga sama-sama komited pada kemajuan perindustrian dan menjauhkan diri daripada menjadi masyarakat yang merugikan keluarga, bangsa dan negara.

    Bapa Awang Muhd Faiz, Haji Sohaili bin Haji Mohidi pula sewaktu ditemu bual, telah menzahirkan rasa syukur kerana anaknya sudi mewarisi pekerjaan pembuatan tambak kubur sebagai seorang anak tempatan.

    Di kesempatan itu, beliau juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara dan PKBN pengambilan ke-7 yang telah diadakan pada tahun 2017 dan 2018, di mana inisiatif tersebut telah memberikan banyak manfaat dalam membina sahsiah dan jati diri anak-anak belia sebagai pemangkin masa depan negara.

    Beliau ingin melihat komitmen yang tinggi pada seluruh anak-anak belia untuk mengisi apa jua bidang pekerjaan atau perniagaan, tidak hanya mengharapkan pekerjaan dalam sektor kerajaan tetapi juga dalam bentuk perkhidmatan seperti runner, fotografi, pembuatan produk tambak kubur, makanan dan minuman, penyewaan pelaminan dan petak gambar dan bidang pertanian atau sebagai nelayan, tambahnya.

    Harapan tersebut secara tidak langsung menyeru kepada para belia yang tidak mempunyai pekerjaan merebut peluang dengan menceburi apa sahaja bidang pekerjaan.

    Ibarat kata pepatah, di mana ada keinginan dan cita-cita murni yang diikuti dengan usaha berterusan tanpa kenal rasa putus asa, Insya-Allah pasti akan membuahkan hasil dan keuntungan serta manfaat yang berguna, tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...